Zulkifli Mohamad Al-Bakri menyerahkan watikah pelantikan kepada Mohd Daud Bakar.

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan pelantikan Datuk Dr. Mohd Daud Bakar Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang baharu bersama 21 orang ahli MAIWP bagi sesi 2021- 2024 berkuatkuasa 10 Februari 2021.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri telah menyerahkan watikah pelantikan kepada barisan ahli MAIWP yang baharu di Kompleks Islam Putrajaya semalam.

Dr. Mohd Daud Bakar, 57 tahun, yang kini memegang jawatan sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia merupakan seorang tokoh dan intelektual kewangan Syariah, juga merupakan Pengerusi Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia.
Beliau turut aktif dalam menjadi penasihat syariah institusi kewangan di peringkat antarabangsa seperti di Oman, Dubai, Perancis, London dan sebagainya.

Datuk Abdul Aziz Jusoh, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pula dilantik sebagai Timbalan Pengerusi MAIWP yang baharu.

Selari dengan peruntukan Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah- Wilayah Persekutuan) [Akta 505], seramai 5 orang ahli Ex-Officio telah dilantik iaitu Datuk Seri Mohd Sallehhuddin Hassan; Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri mewakili Ketua Setiausaha Negara; Tan Sri Idrus Harun, Peguam Negara Malaysia;  Datuk Saiful Azly Kamaruddin, Ketua Polis Kuala Lumpur mewakili Ketua Polis Negara, Sahibus Samahah Datuk Dr. Luqman Abdullah, Mufti Wilayah Persekutuan dan Datuk Seri Mahadi Che Ngah, Datuk Bandar Kuala Lumpur.

Seramai enam orang ahli MAIWP dari sesi lepas telah dilantik semula iaitu Datuk Mohd Naim Mokhtar, Tan Sri Abdul Aziz Rahman, Datuk Mohd Zafir Ibrahim, Datuk Anwari Suri, Prof. Datuk Dr. Shamrahayu Ab. Aziz dan Prof Dr. Engku Rabiah Adawiah Engku Ali.

Beberapa orang tokoh dan pakar dalam pelbagai bidang juga telah dilantik iaitu Tan Sri Dr. Sulaiman Mahbob, Datuk Rameli Musa, Datuk Dr. Mohd Ghazali Md. Noor, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir dan Datuk Abdul Rahman Putra Taha.

Turut menganggotai barisan ahli MAIWP yang baharu adalah Dr. Yusri Mohamad, Dr. Mohd Farid Ravi Abdullah, Zainal Abidin Shaikh Zakaria dan Prof. Dr. Mohd Roslan Mohd Nor manakala Datuk Mohd Ajib Ismail selaku Pengarah Jabatan Agama
Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dilantik sebagai Setiausaha MAIWP selaras dengan Akta 505. – MalaysiaGazette