Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah South African B.1.351 Covid-19 variant
Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Peningkatan kes baharu Covid-19 secara mendadak di Negeri Sembilan hari ini disebabkan pengesanan aktif penularan wabak itu daripada Kluster Industri Sungai Gadut.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster ini telah diumumkan pada 22 Februari lalu hasil saringan bersasar di tempat kerja.

“Ia melibatkan pekerja-pekerja sebuah kilang pembuatan produk kayu yang terletak di Kawasan Perindustrian Sungai Gadut, KM 11, Seremban, Negeri Sembilan.

“Pada hari ini, sebanyak 1,338 kes baharu untuk kluster ini dilaporkan. Jumlah keseluruhan kes dalam kluster ini sehingga 24 Februari 2021 adalah 1,432 kes,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Kementerian Kesihatan Malaysia merekodkan Negeri Sembilan sebagai satu-satunya negeri yang mempunyai kes baharu positif yang tertinggi di Malaysia iaitu sebanyak 1,392 kes.

Jelasnya, daripada jumlah ini, sebanyak 318 kes merupakan warganegara manakala 1,114 kes merupakan bukan warganegara.

“Sebanyak 29 kes yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di penjara dan depot tahanan imigresen.

“Ini membabitkan Kluster Tembok Sungai Udang (14 kes), Kluster Tembok Pengkalan Chepa (12 kes), Kluster Telok Mas (2 kes), dan Kluster Tembok Taiping (1 kes),” katanya lagi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Kes baharu Covid-19 meningkat, Negeri Sembilan paling tinggi