Pakatan Harapan (PH) berpendirian Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu segera menasihati Yang di-Pertuan Agong (YDPA) untuk memanggil sidang Parlimen seawal Mac ini.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Majlis Presiden Pakatan Harapan menggesa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin segera menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya memanggil sidang Parlimen seawal Mac ini.

Menurut tiga pemimpin tertinggi parti-parti dalam Pakatan Harapan, gesaan mereka itu senada dengan titah Yang di-pertuan Agong bahawa sidang Parlimen boleh diadakan semasa tempoh darurat dikuatkuasakan.

Pakatan Harapan menurut mereka, berpendirian bahawa ketika pihak Eksekutif dan Kehakiman boleh berfungsi sewaktu darurat berkuatkuasa, Parlimen juga terus memainkan peranan dalam memastikan urus tadbir kerajaan terjaga dan proses semak imbang diteruskan.

Mereka berkata demikian dalam kenyataan yang menamakan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Kenyataan itu juga menyebut bahawa Majlis Presiden Pakatan Harapan mendukung penuh hasrat Seri Paduka Baginda untuk memulihkan kedudukan Parlimen dalam memainkan peranan penting di sisi Perlembagaan Malaysia.

Begitu juga dengan peranan Parlimen dalam mengetengahkan isu-isu serta masalah yang dihadapi rakyat, membendung pandemik Covid-19 serta merencana langkah-langkah bagi menghidupkan semula ekonomi negara.

Yang di-Petuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin AlMustafa Billah Shah hari ini bertitah bahawa Parlimen boleh bersidang pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai dalam tempoh darurat berkuatkuasa, atas nasihat Perdana Menteri.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara, baginda bertitah sub perenggan 14(1)(b) Ordinan Darurat (KuasaKuasa Perlu) 2021 memperuntukkan bahawa Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat Perdana Menteri.

Baginda juga menzahirkan pandangan bahawa tanggapan sesetengah pihak pelaksanaan proklamasi darurat menghalang Parlimen untuk bersidang adalah tidak tepat.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat – YDPA