Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Ibu bapa yang ingin merentas daerah dan negeri bagi menghantar anak ke sekolah atau asrama tidak perlu lagi mendapatkan surat kebenaran daripada polis.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mereka hanya perlu menunjukkan surat yang dikeluarkan pihak sekolah ketika melalui sekatan jalan raya (SJR).

“Perkara ini sudah dibincangkan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan ia juga sudah dimaklumkan kepada pihak polis di setiap daerah seluruh negara.

“Saya percaya tiada isu di sekatan jalan raya apabila ibu bapa menghantar anak mereka ke asrama atau sekolah,” katanya pada sidang media hari ini.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata, kerajaan juga memutuskan untuk membenarkan mana-mana pihak mengadakan mesyuarat, insentif, persidangan, pameran di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bagaimanapun kata beliau, jumlah ahli yang hadir dihadkan kepada 25 peratus peserta daripada kapasiti premis.

Jelasnya, langkah membenarkan perkara itu akan bermula pada 5 Mac ini. – MalaysiaGazette