Sebanyak lapan kluster baharu jangkitan Covid-19 dilaporkan hari ini dan salah satunya dikesan di Sarawak membabitkan kunjungan sambutan Tahun Baru Cina baru-baru ini.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Sebanyak lapan kluster baharu jangkitan Covid-19 dilaporkan hari ini dan salah satunya dikesan di Sarawak membabitkan kunjungan sambutan Tahun Baru Cina baru-baru ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah berkata, lima daripadanya pula berkaitan tempat kerja manakala dua kluster pula membabitkan komuniti dan berisiko tinggi.

Ujarnya, tiga kluster iaitu Industri 19, SS Lapan dan Industri Jalan Empat di Selangor; Jalan Putra Silang Kuala Lumpur; Tapak Bina Indera Mahkota Pahang; Kluster Kampung Mak Teh Perak (Komuniti), Kluster Jalan Ho Pin Sarawak (Komuniti) dan Kluster Lorong Murni Pulau Pinang iaitu Kumpulan Berisiko Tinggi.

“Kluster Lorong Murni di Pulau Pinang dikesan di di sebuah pusat jagaan warga emas di Taman Desa Murni, Seberang Prai Utara yang mana kluster berisiko tinggi ini dilaporkan positif hasil saringan pra pembedahan.

“Setakat ini 112 individu dari pusat jagaan itu disaring dan 21 daripadanya disahkan positif,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru menurut Noor Hisham, ada kluster yang dikesan di sebuah rumah iaitu Kluster Jalan Putra Silang iaitu sebuah syarikat perkhidmatan yang terletak di Jalan Kasipillay off Jalan Ipoh, Kepong yang apabila kes dikesan di sebuah rumah di Jalan Silang yang mana 50 individu telah disaring tetapi lapan daripadanya positif Covid-19,” ujarnya.

Malah katanya terdapat satu kluster di Sarawak dikesan iaitu Kluster Ho Pin melibatkan daerah Samarahan, Kuching dan Serian di Sarawak yang mana kes indeksnya dilaporkan positif pada 20 Februari lalu hasil saringan kendiri.

“Kluster ini melibatkan sebuah majlis sosial yang berlangsung dari 11 Februari 2021 hingga 13 Februari lalu di Kuching iaitu membabitkan kediaman kes di Jalan Ho Pin off Jalan Datuk Mohd Musa, Samarahan.

“Setakat ini sejumlah 120 individu telah disaring, yang mana 14 kes dikesan positif,” kata beliau.

Dalam perkembangan sama, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak menerusi Jabatan Kesihatan negeri berkenaan mengisytiharkan Kluster Jalan Ho Pin merupakan satu kluster komuniti membabitkan perebakan jangkitan dipercayai berlaku melalui aktiviti kunjung mengunjung semasa sambutan Tahun Baru Cina di Daerah Samarahan, Serian dan Daerah Kuching.

“Dia adalah kes indeks ke-7,636 iaitu seorang wanita warga tempatan Sarawak berumur 22 tahun yang dikesan melalui saringan individu bergejala pada 18 Februari lalu.

“Hasil siasatan lanjut dan saringan ke atas kontak-kontak sosial dan tempat kerja kepada kes indeks, tambahan 13 kes positif Covid-19 telah dikesan.

“Seramai 141 individu negatif dan 65 individu masih menunggu keputusan sementara kesemua 14 kes positif telah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak dan PKRC Kuching bagi tujuan pengasingan dan rawatan lanjut,” kata kenyataan yang sama.

Berkaitan maklumta terkini kluster-kluster yang masih aktif di dalam negara, Noor Hisham menegaskan, setakat ini sebanyak 1,111 kluster direkodkan dan 612 kluster telah ditamatkan setakat ini.

Katanya, ia termasuklah 18 kluster yang ditamatkan hari ini iaitu Kluster Tapak Bina Bali Residence, Kluster Kapital, Kluster Anak Air, Kluster Jalan Suria, Kluster Medan Jasa, Kluster Jalan Kejora, Kluster Kafe Genting, Kluster Kampung Lebu, Kluster Jalan Pakat, Kluster Jalan Medini, Kluster Jalan Playar, Kluster Persiaran Selatan, Kluster Jalan Perak, Kluster Kayuh, Kluster Jalan Satria, Kluster Jalan Danau, Kluster Jalan Dewani Satu, dan Kluster Jalan Indah.

“Jumlah kluster masih aktif adalah sebanyak 499 kluster manakala jumlah kluster dengan pertambahan kes baharu pada hari ini ialah 93 kluster,” katanya.

Kluster-kluster dengan pertambahan kes baharu tertinggi pada hari ini adalah Kluster Perindustrian Pelepas (55 kes), Kluster Tanjung Suria (47 kes), dan Kluster Tembok Tapah (41 kes).- MalaysiaGazette