Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menunjukkan aplikasi MySejahtera selepas disuntik vaksin Covid-19 pada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di Pejabat Kesihatan Daerah Putrajaya. Foto SYAFIQ AMBAK, 24 FEBRUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Seperti Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, Perdana Menteri juga berada dalam keadaan sihat tanpa apa-apa masalah kesihatan selepas sehari menerima suntikan vaksin Covid-19.

Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam video dua minit 38 saat di Facebooknya hari ini menjelaskan dirinya dalam keadaan yang baik.

“Alhamdulillah, hari ini hari kedua selepas semalam saya dapat suntikan vaksin Covid-19, semuanya berjalan dengan baik. Saya katakan ini adalah vaksin yang selamat dan berkesan.

“Saya berasa sihat tidak ada rasa demam, tidak rasa luar biasa makan macam biasa dan selera pun macam biasa,” katanya.

Muhyiddin mencatatkan sejarah apabila menjadi individu pertama yang menerima vaksin Pfizer BioNTech bersama-sama Noor Hisham dan empat lagi pasukan barisan hadapan, semalam.

Bertempat di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Putrajaya, Muhyiddin selesai disuntik vaksin keluaran Pfizer itu selepas tiba di pusat kesihatan pada kira-kira 2.25 petang dan melalui lima stesen di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) untuk menjalani proses vaksinasi tersebut.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata vaksin yang disuntik ke dalam dirinya itu adalah salah satu vaksin yang baik dan mengesyorkan rakyat negara ini agar mendaftar sebagai penerima.

“Vaksin yang saya terima ini agak baik dan saya minta supaya semua memainkan peranan masing-masing menyokong usaha kerajaan dan negara untuk kita landaikan kes Covid-19 dan selesaikan dengan cara kita ramai-ramai mendaftar diri kita untuk mendapatkan suntikan menerusi aplikasi MySejahtera.

“Saya bersyukur kerana keadaan saya yang masih baik dan saya mendoakan semua berada dalam keadaan sentiasa sihat dan teruskan amalan SOP jangan pergi ke tempat orang ramai dan ini harus diteruskan walaupun saya sudah diberikan suntikan vaksin,” katanya lagi.

Muhyiddin yang menerima suntikan vaksin Covid-19 semalam menandakan bermulanya Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Program yang dilancarkan semalam itu juga akan menyasar pemberian imunisasi secara percuma kepada penduduk negara ini, baik rakyat tempatan mahupun warga asing.

Selain Muhyiddin dan Noor Hisyam, empat petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang turut menjadi penerima pertama vaksin Covid-19 ialah Dr Tan Yee Ling, Sheilla Mellissa Sikin, Khairul Asraf Mohd Yasin dan Clement a/l Marai Francis. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Tak sakit pun, macam suntikan biasa – PM