PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) komited dalam memperkasakan empat teras utama seiring prinsip menjaga nyawa dan harta benda seperti terkandung di dalam Maqasid Syariah.

Empat teras ditekankan oleh KDN itu yang terkandung dalam Pelan Strategik 2021 hingga 2025 yang melihat aspek keselamatan, kawalan sempadan, membanteras dadah dan transformasi institusi dapat dilaksanakan secara menyeluruh.

Menurut Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dalam amanat Kementerian itu sebentar tadi, tanggungjawab pihaknya adalah besar dan cukup penting apatah lagi dengan keadaan pandemik Covid-19 sejak tahun 2020 lagi.

“Teras pertama termasuklah memperkukuhkan keselamatan dan ketenteraman awam menjadi teras pertama yang selari dengan perancangan sedia ada.

“Dasar dan perundangan akan diperkukuhkan dengan melaksanakan kajian dan pindaan ke atas akta-akta di bawah bidang kuasa KDN bagi memperkasakan aspek penguatkuasaan,” katanya dalam  Amanat Tahun Baharu 2021 yang disiarkan secara langsung.

Sambung Hamzah, teras kedua pula memperkasa kawalan sempadan, maritim dan membanteras jenayah rentas sempadan yang memberi fokus utama mentransformasi pengurusan dan tadbir urus kawalan sempadan negara.

“Tahun ini, pengurusan sempadan darat dan laut akan diperkukuhkan melalui pendekatan lima sempadan hadapan iaitu sempadan utara Kedah, sempadan utara Kelantan, Selatan, Sabah dan Sarawak.

“Ia akan melihat kepada keperluan untuk pembinaan pagar sempadan, penggunaan teknologi terkini seperti sistem rakaman litar tertutup (CCTV), radar serta dron dan pembinaan pos kawalan adalah berbeza mengikut barisan yang berkenaan,” ujarnya.

Kata beliau lagi, untuk teras ketiga pula, pihaknya menekankan memerangi gejala dadah dan substans bagi memantapkan lagi dasar pengalihan penyalahgunaan dadah.

Antaranya, dari hukuman penjara ke program rawatan dan pemulihan dadah yang telah ditetapkan pada tahun lepas.

“Kita mantapkan melalui penggubalan Rang Undang-Undang baharu dikenali sebagai Akta Penyalahgunaan Dadah dan Substans bagi menggantikan Akta Penagih Dadah 1983.

“Pengukuhan pendekatan dan rawatan dan pemulihan secara sukarela sedia ada perlu dilaksanakan dan inisiatif untuk membuat penambahbaikan bagi memastikan keberkesanan melalui penghasilan Modul Anjakan Kepulihan: Pendekatan Sukarela yang akan dibangunkan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

“Saya yakin dengan adanya modul baharu ini, lebih ramai penagih dadah akan tampil secara sukarela untuk mendapatkan rawatan pemulihan,” tegasnya.

Untuk teras terakhir, jelas Ahli Parlimen Larut itu, KDN fokus dalam mentransformasi institusi dan sistem penyampaian perkhidmatan.

“Kita hendak memperkasakan usaha pendigitalan perkhidmatan yang berteknologi dan berkapasiti tinggi bagi meningkatkan perkhidmatan ‘end to end’.

“Sebagai kementerian yang diberi tanggungjawab, kita akan memulakan inisiatif membangunkan Identiti Digital Nasional (IDN) di bawah Digital Economic Blueprint yang merupakan salah satu inisiatif pendigitalan dan Revolusi Perindustrian 4.0 (4IR) Negara.

“Dengan pelbagai perancangan yang telah disusun rapi saya berharap ia akan direalisasikan dengan sebaiknya,” jelasnya. -MalaysiaGazette