Shabery Cheek

KUALA LUMPUR – Kerajaan yang baik pastinya tidak takut dengan soalan ketika ramai yang hendak tahu bukan sahaja mengenai vaksin dan Covid-19 tetapi juga berhubung isu ekonomi pendidikan dan masa depan negara.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, paling penting kesediaan kerajaan menjawab pelbagai soalan yang akan ditimbulkan.

”Sepatutnya bulan Mac tahun ini, Perasmian untuk Penggal ke-4 Parlimen ke 14. Mendengar Titah di-Raja dan Perbahasan. Kalau ada pengundian wajib pun hanya untuk usul Menjunjung Kasih Titah Di-Raja.

”Saya percaya ia tidak akan ditolak,” kata Shabery di Facebooknya.

Rabu lalu, Yang di-Pertuan Agong menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat.

Shabery menambah: “Perbahasan Parlimen di negara ini biasanya ada sedikit bingit, sebab disiplin kita tak sama seperti di UK, tapi tak lah gaduh hingga bertumbuk seperti di Turki, Taiwan atau di Afrika,”.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan tidak jatuh kerana mendengar perbahasan melainkan kerajaan sendiri membawa usul undi percaya kepada dirinya.

”Tak buat pun tak apa. Kerajaan selamat,” tambahnya. – MalaysiaGazette