Tuan Ibrahim Tuan Man

KUALA LUMPUR – Polemik politik antara UMNO, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)  ketika ini hanyalah disebabkan rundingan agihan kerusi pilihan raya sahaja, kata Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau berkata, Pas yakin parti-parti Melayu dalam Perikatan Nasional (PN) mampu mengelakkan pertembungan tiga penjuru pada Pilihan Raya Umum (PRU15) sekiranya agihan kerusi pilihan raya diuruskan dengan teratur.

Memetik laporan Sinar Harian, beliau menjelaskan, harapan besar Pas adalah semua parti-parti dalam kerajaan PN akan bertanding secara satu lawan satu.

Malah, Pas bersedia berunding secara berhemah bagi tujuan itu.

“Insya-Allah kita akan uruskan. Harapan PAS pada PRU15 adalah satu lawan satu, (parti-parti Melayu) tidak berlaku (pertembungan) tiga penjuru. Kita akan berunding secara berhemah,” katanya seperti dilaporkan.

Menurut Tuan Ibrahim, jika masalah pembahagian kerusi diurus secara teratur, perkara itu dapat diatasi.

Beliau yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air turut mendedahkan satu mesyuarat jawatankuasa Muafakat Nasional (MN) telah diadakan di antara Pas dan UMNO pada Rabu.

Katanya, Pas putuskan untuk meneruskan (koalisi) MN, pada masa sama akan berada dalam jawatankuasa bersama dalam (koalisi) PN.

“Pas akan bincang (dengan semua pihak) untuk selesaikan masalah bersama bagi menghadapi PRU15,” ujarnya.

Tuan Ibrahim turut memberi bayangan PRU15 berkemungkinan akan diadakan pada penghujung tahun ini sekiranya lengkuk kes jangkitan Covid-19 mulai melandai dan semua parti kena bersedia. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.