Gambar hiasan

SUDAH sampai masanya negara kita memiliki sebuah peruntukan undang-undang khusus bagi menghentikan drama lompat parti dalam kalangan ahli politik dalam negara kita. Pihak-pihak yang berkaitan dalam negara perlu memberi pertimbangan terhadap cadangan bagi mewujudkan undang-undang khusus mengenai Anti Larang Lompat Parti ini bagi menghentikan tindakan mana-mana pihak yang telah dipilih oleh rakyat melalui proses pilihan raya yang lalu daripada melompat parti.

Undang-undang khusus mengenai perkara terbabit juga penting bagi menjamin kestabilan politik dan pentadbiran negara untuk tempoh jangka masa panjang serta paling penting dapat melindungi hak rakyat yang telah memberi undi serta kepercayaan tinggi kepada ahli politik. Drama lompat parti ini harus dihentikan bagi mengelakkan rakyat negara ini sakit kepala melihat gelagat ahli politik yang melompat parti ini hingga mengugat kestabilan politik dan perjalanan pentadbiran negara.

Sekiranya amalan melompat parti ini dibiarkan berterusan dibimbangi negara boleh menjadi huru- hara, pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara akan terjejas teruk, sekali gus memberi kesan buruk kepada kehidupan rakyat. Namun perlu diketahui sukar untuk cadangan undang- undang anti-lompat parti dilaksanakan pada masa kini kerana ia dilihat bertentangan dengan prinsip dan jaminan kebebasan kepada semua rakyat Malaysia untuk berpersatuan selaras dengan Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 10 (c) Perlembagaan Persekutuan memperuntukan isu berkaitan dengan kebebasan setiap warganegara untuk bercakap, berhimpun dan berpersatuan. Perkara (10)(1)(c) Perlembagaan Persekutuan menyatakan dengan jelas bahawa “Semua warganegara berhak untuk membentuk persatuan”. Pada masa yang sama juga sudah terdapat kes mahkamah yang jelas terhadapnya dalam negara kita.

Pada April 1992, Mahkamah Agung (Mahkamah Persekutuan kini) ketika itu dalam kes Nordin bin Salleh v Dewan Undangan Negeri Kelantan [1992] 1 CLJ 343 telah memutuskan bahawa undang- undang yang mewajibkan seseorang anggota dewan yang bertukar parti untuk mengosongkan kerusi bercanggah dengan prinsip kebebasan untuk seseorang itu berpersatuan seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 10 (1)(c) Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Namun penting untuk diketahui setiap jenis hak asasi yang telah diperuntukan termasuk kebebasan untuk berpersatuan itu sendiri tidak bersifat mutlak. Perkara 10 (2) dan (3) Perlembagaan Persekutuan ada memperuntukan mengenai perkara ini. Perkara 10 (2) (c) Perlembagaan Persekutuan menyatakan Parlimen boleh melalui undang-undang mengenakan ke atas hak yang diberikan oleh perenggan (c) Fasal (1), apa-apa sekatan yang didapatinya perlu atau suai manfaat demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, ketenteraman awam atau prinsip moral.

Perkara 10 (3) Perlembagaan Persekutuan pula menyatakan “Sekatan-sekatan ke atas hak untuk membentuk persatuan yang diberikan oleh perenggan (c) Fasal (1) boleh juga dikenakan oleh mana- mana undang- undang yang berhubungan dengan perburuhan atau pendidikan. Dengan ini, pihak Parlimen boleh mengenakan sekatan terhadap kebebasan berpersatuan itu sendiri melalui undang-undang jika mendapati sekatan tersebut perlu demi menjaga kepentingan keselamatan Persekutuan, hubungan baik dengan negara lain, ketenteraman awam atau prinsip moral.

Sekatan yang dikenakan terhadap perkara ini dilihat menjadi satu keperluan penting supaya tidak ada mana-mana pihak dalam negara kita yang menyalahgunakan atau mengambil peluang di atas seberang jenis prinsip kebebasan yang telah diberikan kepada diri mereka dan ini termasuklah kebebasan untuk berpersatuan.

Cadangan bagi mewujudkan peruntukan undang-undang khusus terhadap isu lompat parti ini adalah penting kerana implikasi yang besar yang boleh timbul sekiranya tiada tindakan tegas diambil dari sekarang bagi membendungnya daripada berterusan berlaku. Melalui cadangan undang-undang terbabit, sekurang- kurangnya syarat boleh diberikan kepada mana-mana wakil rakyat untuk membenarkan mereka bertukar parti selepas mereka mengembalikan jawatan dan menyerahkan semula mandat kepada rakyat untuk memilih sekali lagi kerusi yang telah dimenangi oleh mereka pada proses pilihan raya yang lalu.

Cadangan bagi mewujudkan peruntukan undang-undang khusus terhadap isu lompat parti ini boleh dipertimbangkan dengan serius demi kestabilan politik jangka panjang dalam negara kita serta bagi mengelakkan negara kita menjadi kucar-kacir akibat daripada drama lompat parti yang tidak berkesudahan ini. Persoalan penting yang perlu ditanya, sekiranya kita mampu menghasilkan pelbagai jenis undang-undang bagi mengawal kebebasan orang ramai untuk bersuara dan meluahkan pendapat mereka, kenapa kita
tidak boleh merangka sebuah undang-undang untuk mengawal ahli politik daripada lompat parti politik dengan sesuka hati mereka sehingga boleh menjejaskan kestabilan negara?

Dr. Muzaffar Syah Mallow,
Profesor Madya,
Fakulti Syariah & Undang-Undang (FSU),
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)