KUALA LUMPUR – Kedudukan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan kekal walaupun tidak mempunyai majoriti, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurut bekas Perdana Menteri itu, buat masa ini tidak ada pihak yang mempunyai majoriti untuk melawan kerusi yang berpihak kepada Muhyiddin.

“Mungkin (pihak lain) tidak ada (majoriti),” katanya dalam program Minda Profesor Negara bersama Bicara Negarawan, Tun Dr Mahathir Mohamad secara langsung di laman Facebook Majlis Profesor Negara, hari ini.

Mahathir berkata demikian ketika ditanya Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Dr Raduan Che Rose apakah kerajaan Perikatan Nasional (PN) boleh digugat.

“Apabila kerajaan sekarang tidak mempunyai majoriti, ada pihak lain yang boleh datang menyatakan mereka mempunyai jumlah yang cukup?, soal Dr Raduan.

Program itu dihoskan felo Majlis Profesor Negara, Dr Muhammad Asri Mohd Ali.

Dalam pada itu, Mahathir berkata, pelaksanaan Proklamasi Darurat yang dibuat oleh kerajaan pimpinan Muhyiddin adalah tindakan yang salah dan tidak boleh dilakukan.

“Hakikatnya ialah Muhyiddin tidak boleh guna darurat untuk kekalkan diri dia sebagai Perdana Menteri, itu yang salah,” katanya.

Pada majlis Malaysia Prihatin di Putrajaya hari ini, Muhyiddin berkata, Proklamasi Darurat bukan langkah untuk beliau terus kekal berkuasa seperti dakwaan sesetengah pihak.

“Saya sedar dan saya faham maksud demokrasi. Justeru, tidak ada satu pun daripada ordinan ini yang bertujuan untuk membolehkan Perdana Menteri kekal berkuasa selama-lamanya.

“Malah, darurat yang sedang dilaksanakan ini juga mempunyai tempoh tamat pada 1 Ogos 2021. Inilah kali pertama dalam sejarah negara kita, darurat mempunyai tempoh tamat,” katanya. – MalaysiaGazette

Proklamasi Darurat bukan untuk saya kekal berkuasa selama-lamanya – PM

2 Komen

Comments are closed.