KUALA LUMPUR – Polis menahan tiga lelaki yang disyaki mengamuk kerana keengganan sebuah restoran di Brickfields, di sini mengambil pesanan berikutan tamat tempoh operasi  Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir pada jam 10 malam.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Komisioner Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, akibat tidak puas hati suspek yang berumur antara 27 hingga 35 tahun itu mula membaling kerusi.

“Waktu itu jam sudah lebih 10 malam dan kedai itu tidak mahu menyajikan makanan kerana kedai hendak ditutup operasinya mengikut SOP (prosedur operasi standard) PKP yang ditetapkan,” katanya.

Beliau menyatakan demikian selepas menghadiri majlis Pelancaran Suntikan Vaksin Covid-19 Polis Kontinjen Kuala Lumpur di Klinik Kesihatan Jinjang  di sini hari ini.

Menurut Saiful Azly, bertindak atas laporan polis pemilik restoran itu, anggota polis Ibu Pejabat Daerah (IPD) Brickfields telah melancarkan operasi memburu suspek-suspek tersebut dan mereka ditahan pada awal pagi tadi.

Tambah beliau, kesemua suspek berasal dari ibu negara dan mereka dalam proses ditahan reman pagi ini untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh tanpa senjata, ujarnya.

Saiful Azly berkata, polis juga sedang memburu saki baki meerka yang mengamuk di restoran terbabit.

Sementara itu, MalaysiaGazette telah mendapatkan penjelasan pengurus restoran berkenaan yang terjejas akibat kejadian malam tadi.

Bercakap kepada MalaysiaGazette, pemilik restoran berkenaan yang hanya dikenali sebagai Sree berkata, kejadian berlaku sekitar 10.15 malam ketika beliau dan 11 orang pekerjanya sedang mengemas restoran untuk penutupan oeprasi mengikut SOP kerajaan.

“Ketika itulah datangnya sekitar 11 orang lelaki yang tidak dikenali hadapan restoran sebelum bertanya ada makanan lagi yang boleh disajikan kepada mereka sebelum saya memaklumkan bahawa restoran tutup operasi dan tidka menerima pelanggan.

“Lelaki itu yang berkeadaan mabuk terus memaki hamun dengan kata kesat sebelum salah seorang rakannya terus mencekik leher dan cuba menyerang saya sebelum pekerja saya berusaha meleraikan pergaduhan itu dan ada diantara suspek mengambil parang dari kenderaan mereka dan rotan panjang.

“Mereka merosakkan banyak barang dalam restoran seperti kerusi meja selain meja khas display makanan siap masak dan ada beberapa pekerja juga tercedera,” katanya ketika kepada MalaysiaGazette.

Tambah beliau rentetan kejadian itu laporan polis dibuat untuk tindakan lanjut atas faktor keselamatan diri dan pekerjanya.- MalaysiaGazette