Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Hari pertama pembukaan sesi persekolahan secara bersemuka bagi murid prasekolah, Tahun Satu dan Dua di seluruh negara hari ini menyaksikan tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang tinggi dalam kalangan warga sekolah termasuk murid-murid.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata pembukaan didahulukan bagi kumpulan murid itu untuk membiasakan mereka dengan keadaan di sekolah memandangkan mereka pertama kali masuk ke sekolah dengan pelaksanaan SOP.

“Jika kita lihat, Alhamdulillah pematuhan kepada SOP di sekolah adalah baik. Kadang-kadang kita rasa anak-anak ini tidak patuh, tapi kalau kita pergi tengok sendiri dan saya biasa melawat sekolah tanpa memaklumkan kehadiran saya, kita lihat anak-anak ini memang mematuhi SOP khususnya di dalam kelas.

“Sebab itu di sekolah kita meminimumkan pergerakan mereka, kita telah berbincang dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) apakah pendekatan supaya pergerakan diminimumkan.

“Sebab susah hendak kawal bila banyak sangat pergerakan, tetapi dalam sekolah ini pergerakan agak terhad,” katanya pada sidang media selepas Majlis Amanat Perdana Setahun Malaysia Prihatin di sini hari ini.

Selain itu, Radzi berkata beliau sempat melawat dua buah sekolah hari ini dan mendapati ibu bapa juga mematuhi garis panduan yang ditetapkan dengan hanya menghantar anak-anak hingga ke pagar sekolah sebelum mereka dibawa masuk ke kelas oleh guru masing-masing.

Radzi berkata Kementerian Pendidikan telah memaklumkan kepada pihak sekolah mengenai pelbagai model yang boleh digunakan semasa tempoh penyuraian yang boleh diadakan secara berperingkat untuk memastikan tidak ramai murid bersurai pada satu-satu masa.

“Guru besar boleh melihat kedudukan sekolah, bagaimana dengan jalan atau kesesakan dan boleh memilih apakah pendekatan untuk menyuraikan murid-murid.

“Sebab itu bagi kemasukan minggu ini, kita bagi kelonggaran untuk mereka melakukan secara berperingkat tetapi ia bergantung kepada kapasiti sekolah, sebab minggu pertama ramai ibu bapa yang tidak biasa menghantar anak,” katanya.

Beliau berkata untuk menjayakan perkara itu, kerjasama ibu bapa diperlukan untuk memastikan kesesakan dikurangkan di hadapan sekolah supaya semua mematuhi SOP yang telah ditetapkan.- BERNAMA