Kelihatan pelajar menikmati sarapan pagi ketika tinjauan hari pertama Program Sarapan pagi (PSP) di Sekolah Kebangsaan Seri Suria, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 20 JANUARI 2020

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) disaran meneruskan Program Sarapan Percuma (PSP) memandangkan sesi persekolahan bermula semula.

Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik berkata, program itu bukan hanya memberikan manfaat kepada 4.79 juta murid seluruh negara, malah turut membantu ibu bapa berjimat dan pengusaha kantin yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

“Pelaksanaan Program Sarapan Percuma ini hakikatnya merupakan jalan keluar yang melegakan ketika rakyat hidup dalam kesengsaraan yang pelbagai dan sekaligus boleh merangsang pertumbuhan ekonomi yang mampan dan berdaya saing.

“Saya amat berharap saranan ini dipertimbang sewajarnya demi kemaslahatan sejagat dan rakyat terbanyak,” katanya menerusi kenyataan.

PSP telah dimulakan secara rintis di beberapa buah sekolah melibatkan 6,303 murid pada 27 Ogos sehingga 22 November 2019 selama 64 hari persekolahan.

Tambah bekas Menteri Pendidikan itu, lebih dari 70,000 pekerja kantin di seluruh negara yang selama ini terkesan akibat penutupan sekolah akan dapat dibantu secara tidak langsung sekiranya PSP diteruskan.

“Ini penting kerana mereka ini kebanyakannya hanya bergantung kepada penjualan makanan kepada murid sekolah sebagai punca pendapatan utama,” tambahnya.

Kerajaan, katanya, boleh memanfaatkan belanjawan yang telah diperuntukkan kepada program Rancangan Makanan Tambahan yang tidak dibelanja ekoran sekolah tidak dibuka sejak Mac 2020. – MalaysiaGazette