Projek bertajuk “Perception about Gender Equality” oleh kumpulan pelajar tahun dua program Kejuruteraan Minyak dan Gas, yang terdiri daripada lima ahli iaitu Melvin Lai, Rainlee Damin, Dg Nur Nalisha, Muhammad Zulfadhli, dan Mohamad Jazli meraih hadiah saguhati bagi kategori Projek Literasi Statistik Antarabangsa (ISLP).

KUALA LUMPUR – Dua projek oleh kumpulan pelajar Fakulti Kejuruteraan (FKJ) Universiti Malaysia Sabah (UMS) mendapat pengiktirafan dalam pertandingan Cabaran Statistik / Matematik Peringkat Kebangsaan Kali Pertama (ISMChallenge-I) baru-baru ini.

Bertemakan ‘Statistik Memacu Pencapaian Matlamat Pembangunan Lestari’, pertandingan anjuran Institut Sains Matematik, UM dan Institut Statistik Malaysia itu berlangsung secara dalam talian.

Ia merupakan platform kepada pelajar sarjana muda di Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta berkongsi idea dan kreativiti mengenai bidang matematik dan statistik.

Pensyarah Kanan FKJ UMS, Dr Emma Suali yang merupakan penyelia bagi projek pelajar UMS berkata, walaupun kali pertama menyertai pertandingan tersebut  namun kesemua wakil pelajar masih mampu memberikan keputusan memberangsangkan.

“Pertandingan sebegini amat baik sebagai satu platform dalam mencungkil bakat-bakat para pelajar yang menyertai.” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kumpulan pelajar tahun tiga program Kejuruteraan Minyak dan Gas yang terdiri daripada , Esther Christina, Priveqa Yaashini, Melven Tuesday, Nur Syamin, dan Ashrulnizam memenangi hadiah saguhati dengan tajuk projek “The best alternative way to reduce the usage of non-biodegradable substance”.

Pertandingan terbahagi kepada dua kategori iaitu ISLP dan Non-ISLP, kategori ISLP memerlukan peserta untuk menjalankan tinjauan berkaitan alam sekitar, biologi dan pembangunan lestari, dan peserta dikehendaki membuat satu poster berdasarkan data statistik hasil tinjauan tersebut.

Manakala kategori Non-ISLP pula memerlukan peserta untuk membuat satu projek video yang berhubung kait dengan statistik dan matematik.

Tambah kenyataan yang sama, hadiah utama bagi kategori tersebut telah dibolot oleh kumpulan pelajar tuan rumah, Universti Malaya dengan tajuk projek Awareness of ISM Members About The Endangered Species in Malaysia.

Pemenang bagi setiap kategori kemudian terpilih untuk mewakili Malaysia bagi pertandingan ISLP 2021 peringkat antarabangsa. -MalaysiaGazette