Tan Sri Abdul Hamid Bador

KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara (KPN) berharap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkongi maklumat sindiket Macau Scam dan perjudian atas talian yang melibatkan Addy Kanna.

Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, ia penting bagi membolehkan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan terhadap pegawai dan anggotanya yang terlibat dengan aktiviti sindiket itu.

“Kes (Macau Scam dan judi online) ini agak rumit kerana ia datang daripada SPRM, ditangkap dan diambil tindakan juga oleh SPRM sebelum kes diserahkan kepada polis untuk tindakan susulan.

“Oleh demikian saya adalah pihak berkuasa nombor dua yang menjalankan siasatan tentang kegiatan jenayah itu.

“Maka saya berharap sangat SPRM dapat berkongsi segera segala maklumat yang mereka ada kegiatan jenayah Macau Scam dan judi online melibatkan Addy Kanna supaya kami selaku PDRM dapat membuat keputusan tepat dan adil,” katanya selepas menerima vaksin Pfizer BioNTeck di Klinik Kesihatan Kuala Lumpur hari ini.

Beliau diminta mengulas tentang 31 pegawai dan anggota polis yang dikenalpasti terlibat dalam sindiket Macau Scam dan judi online bersama Addy Kanna.

Menurut Abdul Hamid, nasib kesemua mereka yang terlibat terletak di tangan Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP).

“SPP akan bersidang dan akan memutuskan sama ada kesemua 31 pegawai dan anggota polis itu akan diambil tindakan buang kerja, turun pangkat atau lain-lain yang difikirkan adil dan setimpal,” ujarnya. – MalaysiaGazette