Azmin Ali

KUALA LUMPUR – Malaysia terus menjadi destinasi pelaburan yang kompetitif meskipun berdepan ketidaktentuan semasa, dibuktikan dengan kedudukannya dalam lanskap ekonomi global.

DHL Global Connectedness Index (GCI) 2020 meletakkan Malaysia di tangga kedua (ke-2) di antara negara-negara Asia Pasifik dan 16 dari 169 negara untuk hubungan perdagangan.

Kajian bersama oleh KPMG dan The Manufacturing Institute di Amerika Syarikat (AS) yang bertajuk ‘Cost of Manufacturing Operations around the Globe’ juga meletakkan Malaysia di tempat keempat (ke-4) di antara 17 ekonomi dalam penilaian yang membandingkan daya saing ekonomi sebagai pusat pengilangan; meletakkan Malaysia di hadapan negara-negara di Asia seperti China, Jepun, Vietnam dan India.

Tambahan pula, Malaysia berada pada kedudukan ke-12 dalam senarai Doing Business 2020 Bank Dunia dan ke-27 dalam Daya Saing Dunia IMD 2020.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, penarafan kedudukan Malaysia oleh agensi-agensi antarabangsa yang terkenal ini membuktikan bahawa inisiatif reformasi yang sedang dijalankan berada di landasan yang betul untuk meningkatkan lagi daya saing, produktiviti dan tadbir urus Malaysia yang akan membantu mempromosikan pelaburan dan mempercepat pembangunan ekonomi negara.

Sehingga Disember 2020, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) mempunyai potensi pelaburan bernilai RM65.9 bilion yang sedang dinilai secara aktif.

Menurutnya, projek-projek ini setelah diluluskan diharap dapat dilaksanakan pada tahun 2021 hingga 2022.

”MIDA juga telah mengenal pasti 240 projek pelaburan asing berprofil tinggi, termasuk syarikat Fortune 500 di sektor perkilangan dan perkhidmatan, dengan gabungan nilai pelaburan berpotensi RM81.9 bilion.

”Ini termasuk rundingan yang sedang berlangsung dengan syarikat dari pelbagai sektor seperti automotif, kimia, dan elektronik canggih untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat perkilangan, perkhidmatan dan rantaian bekalan global bernilai tinggi,” katanya dalam kenyataan di sini.

Tambah beliau, Pelan Pembangunan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital) yang baru dilancarkan oleh kerajaan juga akan mempercepat kemajuan Malaysia untuk menjadi ekonomi maju dari segi teknologi.

Rancangan 10 tahun ini akan meletakkan asas transformasi negara ke arah ekonomi digital yang maju dan membimbing MITI dan MIDA dalam usaha untuk terus menarik pelaburan bernilai tinggi pada masa depan.

”Walaupun tahun 2020 merupakan tahun yang mencabar dalam banyak hal, Malaysia tetap teguh dalam asasnya sebagai destinasi pelaburan pilihan utama di rantau ini.

”Ketika kita melangkah ke tahun baharu dalam membangunkan semula ekonomi, ditambah dengan pelancaran program vaksinasi nasional, Kerajaan tetap komited untuk mengutamakan keperluan rakyat dan perniagaan,” ujarnya. – MalaysiaGazette