Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Tan Seri Noh Omar bergambar kenangan dengan wakil agensi-agensi MEDAC pada Majlis Penyerahan Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) di Hotel Everly, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 02 MAC 2021.

PUTRAJAYA – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) mengukuhkan kerjasama strategik dengan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dalam membantu mengembangkan perniagaan usahawan Bumiputera dan melahirkan lebih ramai usahawan yang berdaya saing pada masa akan datang.

Kerjasama itu melibatkan permeteraian Perjanjian Persefahaman (MoU) dengan tujuh agensi di bawah kementerian itu melibatkan UDA Holdings Berhad, SME Corp Malaysia, SME Bank, Bank Rakyat, TEKUN Nasional, Perbadanan Nasional Berhad (PNS) dan Institut Keusahawanan Negara (INSKEN).

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, objektif utama pemeteraian MoU itu  adalah sebagai satu sinergi dalam usaha mewujudkan ekosistem perniagaan yang kondusif bagi menjana sosio ekonomi bumiputera yang lebih berdaya saing.

Jelas beliau, ke arah itu, kerjasama dan kolaborasi strategik yang dimeterai ini akan dapat menyediakan peluang kepada semua usahawan Bumiputera secara adil dan saksama.

“Melalui kerjasama strategik yang dijalinkan dalam bidang pembiayaan, latihan dan pembangunan kapasiti, akses pasaran serta akses kepada lokasi perniagaan bersama PUNB ini diharapkan akan dapat membuka lebih banyak peluang bagi menggalakkan penyertaan Bumiputera dalam bidang keusahawanan.

“Saya juga yakin bahawa dengan kerjasama yang dimeterai ini, satu sinergi baharu dapat dizahirkan dan tidak mustahil ianya dapat melahirkan 100 jutawan setiap tahun dalam kalangan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) hasil daripada kerjasama strategik di antara MEDAC dan PUNB,” katanya.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berucap pada Majlis Penyerahan Memorandum Persefahaman (MoU) antara agensi MEDAC dengan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) di Hotel Everly, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 02 MAC 2021.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan MOU antara tujuh agensi di bawah kementeriannya dengan PUNB di Hotel Everly di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi PUNB, Tan Sri Noh Omar.

Wan Junaidi menambah, semua agensi yang terlibat dengan MoU mempunyai agenda yang sama dalam pembangunan keusahawanan negara cuma ia berbeza daripada aspek perkhidmatan yang ditawarkan.

Bagaimanapun jelasnya, perbezaan perkhidmatan yang ditawarkan setiap agensi terlibat, adalah satu kelebihan dalam pemeteraian MoU apabila usahawan mempunyai lebih banyak pilihan untuk mendapatkan pembiayaan perniagaan dan khidmat sokongan korporat.

Sementara itu, Noh berkata, pemeteraian MoU antara PUNB dengan tujuh agensi di bawah MEDAC ini membabitkan lima skop kerjasama.

Menurut beliau, skop kerjasama tersebut adalah tawaran pembiayaan perniagaan; peluang perniagaan untuk usahawan Bumiputera bagi pasaran tempatan dan antarabangsa; perkongsian idea, bahan penerbitan dan kemudahan fasiliti; promosi dan program pembangunan serta penawaran premis perniagaan di lokasi-lokasi strategik. – MalaysiaGazette

Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Tan Seri Noh Omar bercakap pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Memorandum Persefahaman (MoU) antara agensi MEDAC dengan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) di Hotel Everly, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 02 MAC 2021.