SUBANG – Seorang lelaki menampar pengurus restoran wanita gara-gara terdapat lalat dalam nasi lemaknya.

Berikutan itu, polis kini memburu suspek manakala dua pekarja restoran warga India dan seorang pelanggan wanita ditahan pada jam tiga petang hari ini.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata, kejadian berlaku, antara 5 hingga 6 petang di Restoran Canai Cafe di Jalan SS 15/4, Subang Jaya semalam.

“Ketika itu dia (pengurus restoran) dimaklumkan oleh pekerja bahawa terdapat satu meja yang diduduki oleh pelanggan tiga perempuan dan seorang lelaki tempatan menyatakan rasa tidak berpuas hati dengan makanan yang dihidangkan.

“Lelaki tersebut telah mengeluarkan telefon bimbit untuk merakam kejadian ini sebelum mangsa telah menegur supaya menghentikan rakaman namun tidak diendahkan suspek dan mengugut meviralkan kejadian ini.

“Tiba-tiba lelaki tempatan (pelanggan) tersebut telah menampar muka kiri mangsa dan ini telah menyebabkan berlaku pertengkaran serta tolak-menolak dan sejurus kejadian ini, kesemua suspek telah beredar dari situ,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Abd Khalid berkata, polis menerima laporan daripada pengurus restoran dan pelanggan wanita yang merupakan seorang jururawat.

Katanya, aduan yang dilakukan pelanggan menyatakan ketika makan beliau dan rakan-rakannya menemui lalat di dalam nasi lemak yang dihidangkan pekerja restoran.

“Bertindak atas kedua-dua laporan polis itu, polis sekitar 3 petang tadi telah menahan dua lelaki warganegara India iaitu pekerja restoran itu dan seorang wanita tempatan (pelanggan) yang disyaki terlibat di dalam kes ini untuk membantu siasatan polis.

“Manakala seorang lagi pelanggan lelaki yang disyaki menampar pengurus restoran dan merakam masih belum dapat dikesan lagi dan sedang diburu polis,” ujarnya.

Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh tanpa senjata. – MalaysiaGazette