KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerusi anak syarikatnya, TNB Renewables Sdn. Bhd memeterai kerjasama bersama Sunseap Group yang merupakan pemaju, pemilik dan pengendali sistem tenaga solar terkemuka di Singapura.

Pemeteraian berkenaan bagi menerokai pasaran tenaga boleh baharu dan Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) Korporat di Singapura.

Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Baharin Din, kerjasama ini merupakan pencapaian penting dalam usaha meluaskan jejak mereka dalam bidang tenaga boleh baharu di peringkat antarabangsa termasuk di Asia Tenggara.

“Ini adalah usaha pertama TNB meneroka pasaran tenaga boleh baharu di Singapura dan
Kumpulan ini akan berada pada kedudukan terbaik bagi memanfaatkan segmen PPA Korporat yang sedang berkembang pesat,”katanya menerusi kenyataan.

Terkini, portfolio keseluruhan tenaga boleh baharu TNB adalah 2,732.3 megawatt (MW) di Malaysia (termasuk 2,536.1MW daripada hidro besar) dan 666MW di United Kingdom, Turki dan India yang kebanyakannya melibatkan aset penjanaan tenaga solar, angin dan hidro.

Beliau menjelaskan, kerjasama itu antara lain menyasarkan pelanggan strategik seperti syarikat RE100, syarikat multinasional, dan data.

Inisiatif ini dijangka bakal memacu pertumbuhan permintaan tenaga bersih dan hijau di rantau ini untuk tahun-tahun akan datang.

“Kerjasama ini juga adalah tepat pada masanya, sejajar dengan jangkaan pelancaran tender oleh Pihak Berkuasa Pasaran Tenaga Singapura (EMA) bagi percubaan penyaluran bekalan tenaga rentas sempadan Malaysia-Singapura yang dijangka akan dilancarkan menjelang Mac 2021,” tambahnya.

Sunseap adalah salah satu pemain industri terbesar dan terkemuka dalam industri tenaga solar di rantau ini, dengan projek-projek di Singapura, Australia, Vietnam, China, Taiwan dan Kemboja.

Di Malaysia, syarikat itu telah menandatangani kerjasama dengan Cenergi SEA Sdn Bhd untuk membekalkan tenaga solar kepada pelanggan kediaman melalui perjanjian penyewaan solar atas bumbung.- MalaysiaGazette