Aliran trafik penumpang udara susut pada Januari 2021 berbanding paras sebelum penularan pandemik COVID-19 (Januari 2019) dan Disember 2020, kata Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).

KUALA LUMPUR – Aliran trafik penumpang udara susut pada Januari 2021 berbanding paras sebelum penularan pandemik COVID-19 (Januari 2019) dan Disember 2020, kata Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).

Sebaliknya, permintaan kargo udara global pada Januari 2021 telah kembali ke paras pra-COVID-19 (Januari 2019) untuk pertama kalinya sejak krisis itu bermula.

Bagi permintaan penumpang udara, jumlah bagi Januari 2021 (diukur dalam hasil penumpang bagi setiap kilometer atau RPK) terbukti berkurangan sebanyak 72 peratus berbanding Januari 2019 dan lebih buruk berbanding penurunan 69.7 peratus tahun ke tahun pada Disember 2020.

“Permulaan 2021 jauh lebih buruk daripada akhir 2020 dan ini membawa banyak maksud. Walaupun program-program vaksinasi COVID-19 semakin giat dilaksanakan, kewujudan varian baharu virus itu sebaliknya menyebabkan kerajaan meningkatkan lagi sekatan perjalanan.

“Tempoh sekatan yang tidak pasti ini juga memberi impak terhadap perjalanan udara di masa depan. Jumlah tempahan akan datang bagi Februari tahun ini membabitkan perjalanan musim panas di Hemisfera Utara, juga susut 78 peratus di bawah paras yang dicatatkan pada Februari 2019,” kata Ketua Pengarah merangkap Ketua Pegawai Eksekutif IATA, Alexandre de Juniac, dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurut IATA, perbandingan antara prestasi bulanan 2021 dan 2020 itu memaparkan impak ketara akibat COVID-19 dengan perbandingan sehingga Januari 2019 yang berdasarkan aliran permintaan biasa.

Jumlah permintaan domestik berkurangan 47.4 peratus berbanding paras dalam tempoh sebelum krisis (Januari 2019) dengan sebahagian besar penurunan itu disebabkan oleh sekatan pergerakan perjalanan lebih ketat di China ketika musim cuti sambutan Tahun Baharu.

Selain itu, permintaan penumpang antarabangsa pada Januari juga merosot 85.6 peratus daripada Januari 2019 — penurunan selanjutnya berbanding 85.3 peratus penyusutan tahun ke tahun yang dicatatkan pada Disember lepas.

Bagi tempoh sama, trafik syarikat penerbangan di Asia Pasifik menjunam 94.6 peratus berbanding 2019 atau tidak berubah daripada penyusutan 94.4 peratus bagi Disember 2020 berbanding setahun lepas.

“Rantau tersebut terus mencatat penyusutan trafik paling ketara untuk bulan ketujuh berturut-turut. Kapasiti juga merosot 86.5 peratus manakala faktor beban muatan turun 49.4 mata peratusan kepada 32.6 peratus iaitu yang terendah dalam kalangan rantau ian,” kata IATA yang mewakili kira-kira 290 syarikat penerbangan yang meliputi 82 peratus trafik udara global.

Selain itu, de Juniac berkata kenyataan bahawa 2021 dimulakan dengan perkembangan kurang menarik juga adalah sesuatu yang berasas.

“Prospek kewangan bagi tahun ini semakin buruk apabila kerajaan di peringkat global memperketat sekatan perjalanan. Kami kini menjangkakan industri ini akan membelanjakan US$75-US$95 bilion dalam tunai bagi tahun ini berbanding mencatat pulangan tunai yang positif pada suku keempat sebagaimana dijangkakan pada awalnya.

“Ini bukanlah sesuatu yang boleh diharungi industri jika tidak mendapat bantuan tambahan daripada kerajaan masing-masing,” katanya.

Beliau juga menyifatkan bahawa peningkatan keupayaan ujian serta pengagihan vaksin sebagai teras bagi kerajaan merancakkan aktiviti ekonomi, termasuk perjalanan udara.

Sehubungan itu, adalah penting bagi kerajaan untuk membangunkan serta berkongsi pelan peningkatan semula berserta tanda aras sebagai panduan hala tuju tersebut.

“Tindakan itu akan membolehkan industri bersedia untuk meningkatkan semula aspek pemulihan tanpa sebarang penangguhan tidak sewajarnya,” katanya.

Pada masa sama, katanya, keperluan utama lain adalah standard atau piawaian global bagi mencatat ujian serta data vaksinasi dalam format yang perlu diperakui di peringkat dunia.

Beliau menegaskan, aspek ini amat kritikal dalam usaha memulakan semula perjalanan antarabangsa sekiranya kerajaan terus memerlukan data ujian atau vaksinasi yang disahkan.

“IATA juga akan melancarkan Pas Perjalanan IATA untuk membantu pelancong dan kerajaan menguruskan aspek kelayakan kesihatan digital. Namun, manfaat penuh kemudahan pas tersebut tidak dapat direalisasikan sehingga kerajaan-kerajaan mencapai persetujuan mengenai piawaian maklumat yang diperlukan,” kata de Juniac.

Mengulas lanjut mengenai kargo udara global, beliau berkata permintaan pada Januari 2021 juga menunjukkan pertumbuhan kukuh bulan ke bulan berbanding paras dicatatkan pada Disember 2020.

Angka permintaan global yang diukur dalam kargo tan kilometer (CTK) menokok 1.1 peratus berbanding Januari 2019 serta +3.0 peratus berbanding Disember 2020 dengan kesemua rantau mencatat peningkatan bulanan dalam aspek itu yang terbukti kukuh di Afrika Utara dan Afrika.

“Trafik kargo udara ini sudah kembali ke paras sebelum krisis dan ini adalah satu berita baik bagi ekonomi global. Namun, di sebalik permintaan kukuh terhadap penghantaran kargo, kemampuan kita sebaliknya dihadkan oleh kekurangan kapasiti kargo membabitkan pesawat penumpang,” kata de Juniac.- BERNAMA