Reaksi murid sekolah darjah satu balik sekolah ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Sekolah Rendah Bukit Bandaraya, Bangsar. Foto HAFIZ SOHAIMI, 02 MAC 2021.

PANDEMIK COVID-19 telah melanda negara kita untuk jangkamasa lebih daripada setahun. Bermula dengan beberapa kes import, kluster tempatan mulai muncul pada bulan Mac 2020 dan mengakibatkan peningkatan yang mendadak. Bagi membendung penularan dan peningkatan kes, pelbagai langkah telah dilakukan dan pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai berkuatkuasa pada 18 Mac 2020.

Setelah penurunan bilangan kes mula dilihat pada hujung bulan April, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mula dilaksanakan dengan membenarkan kebanyakan sektor perniagaan dibuka semula dengan mengamalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat. Pandemik ini bukan sahaja mengakibatkan penutupan sektor perindustrian dan pelancongan, malah ia juga mengakibatkan terjejasnya sistem pendidikan dari seawal usia tadika sehinggalah pelajar di universiti.

Peningkatan kes yang berlanjutan mengakibatkan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) tertangguh, natijahnya peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan peperiksaan peringkat negeri dan sekolah telah dibatalkan. Malahan peperiksaan utama iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) turut melakar sejarah apabila dilaksanakan pada suku pertama tahun 2021, dan bukan di hujung tahun 2020 seperti yang biasanya berlaku.

Walaupun PKP yang dilaksanakan menyekat PdP daripada dijalankan di sekolah,
namun ia tidak menghalang daripada proses tersebut diteruskan di rumah. Pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) telah memungkinkan guru-guru meneruskan penyampaian ilmu di dalam talian menggunakan peranti telefon bimbit dan tablet serta memanfaatkan aplikasi seperti Zoom, Google Meet, Teams dan lain-lain. Guru-guru juga terpaksa menjadi lebih kreatif dan inovatif serta berusaha untuk melengkapkan diri dengan ilmu baharu ini supaya proses PdPR ini dapat dijalankan dengan baik.

Tidak dinafikan terdapat kekangan yang timbul dalam pendidikan dalam talian seperti
masalah capaian Internet, ketiadaan peranti yang sesuai, masalah yang timbul daripada sikap pihak guru, pelajar dan juga ibu bapa sendiri turut menjadi salah satu punca kegagalan PdPR ini. Dalam situasi ini, kita seharusnya memberikan penghormatan kepada sebahagian ibu bapa dan pelajar yang berada di kawasan yang terpencil yang sanggup berkorban berjalan kaki ke kawasan yang lebih sesuai untuk capaian Internet demi menyelesaikan tugasan yang diberi oleh guru.

Pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengumumkan tarikh
permulaan sesi persekolahan mulai 1 Mac 2021 secara beransur-ansur. Keputusan ini, seperti mana pelbagai keputusan yang lain juga, telah menimbulkan pelbagai reaksi daripada semua pihak. Namun, dari suatu sudut, keputusan ini amat penting bagi PdP anak-anak, terutamanya yang ibu bapanya tidak mampu untuk sama-sama memantau perjalanan PdPR sepanjang sesi persekolahan yang telah bermula pada 20 Januari yang lepas.

Di antara isu yang diketengahkan adalah kos perbelanjaan untuk kembali ke sekolah. KPM telah mengeluarkan kenyataan tentang kelonggaran pemakaian pakaian seragam sekolah bagi meringankan bebanan ibubapa, terutamanya yang telah mengeluarkan sejumlah wang yang besar untuk menyediakan peranti bagi PdPR sebelum ini. Diharap pihak sekolah turut memanjangkan keputusan ini ke dalam SOP bagi sekolah masing-masing.
Adakah sekolah cukup selamat?

Sebenarnya kebanyakan tempat adalah cukup selamat sekiranya kita semua
mengamalkan SOP yang telah ditetapkan dan saranan pihak Kementerian Kesihatan
Malaysia. Pastinya anak-anak kita cukup kenal dengan “Amalkan 3W, Elakkan 3C.”

Pemakaian pelitup muka secara berkesan, pencucian tangan secara berkala dan selepas
bersentuhan dengan mana-mana permukaan, tidak menghadiri sekolah sekiranya bergejala atau mempunyai sejarah berhubungan dengan mana-mana individu yang mengidap COVID-19 ini dan sentiasa mengamalkan penjarakan fizikal merupakan langkah yang boleh diambil oleh semua pihak.

Apa yang telah dilaksanakan sepanjang tempoh persekolahan yang singkat
tahun lepas merupakan latihan awal bagi kita meneruskan kehidupan di alam persekolahan bagi memastikan anak-anak ini merasai pahit manis alam persekolahan walaupun tidak sama dengan zaman sebelum COVID-19. Sistem pengambilan makanan di waktu rehat, penghantaran dan pengambilan anak, serta sesetengah mata pelajaran atau aktiviti ko-kurikulum juga telah ditetapkan SOP yang tertentu. Selain daripada menyediakan bekal untuk dibawa oleh anak-anak untuk dimakan di waktu rehat, ibu bapa juga boleh mengenalpasti kemudahan penyediaan makanan yang dilaksanakan di kantin sekolah masing-masing.

Berurusanlah dengan pengusaha kantin atau mana-mana individu yang terlibat agar dapat membantu menyediakan makanan secara bungkus supaya anak-anak kita dapat makan makanan yang sihat dan selamat. Proses di awal dan akhir waktu persekolahan juga adalah penting. Sekiranya anak-anak ini pergi ke sekolah dengan menaiki kenderaan awam atau menyewa atau melanggan bas sekolah persendirian, adalah penting untuk memastikan bilangan pelajar di dalam kenderaan tersebut tidak melebihi muatan, pengusaha tidak terdedah kepada COVID-19 dan pastikan anak-anak memakai pelitup muka dengan sempurna dan tidak bergurau senda keterlaluan di dalam kenderaan. Sekiranya ibu bapa sendiri yang menghantar dan mengambil anak-anak di sekolah, sebaik-baiknya hantar dan ambil pada waktu yang telah ditetapkan bagi mengelakkan kesesakan lalulintas dan sekaligus mengurangkan risiko pendedahan kepada
anak-anak.

Kesimpulannya, kita patut menyedari hakikat bahawa semenjak pandemik ini
bermula, kehidupan kita telah banyak berubah. Kita tidak dapat untuk selamanya berada di dalam gelembung, berkurung di dalam kepompong sendiri tanpa dapat meneruskan
kehidupan seperti biasa. Namun, disebabkan pandemik ini juga, kehidupan seperti biasa tidak lagi biasa, kita terpaksa hidup dengan norma baharu. Diharapkan dengan kehadiran vaksin COVID-19 dan penghasilan imuniti kelompok (herd immunity) akan membantu kita
menjalani kehidupan seperti sebelum era COVID-19. Kita sepatutnya berusaha sebaik
mungkin untuk mencegah penularan dan jangkitan COVID-19 ini bermula daripada diri kita sendiri seperti yang disarankan di dalam hadis Rasulullah SAW dalam Riwayat at-Tirmizi (2157) dan Ibn Hibban (708) yang bermaksud, “Ikatlah untamu, dan kemudian bertawakkal.”

Ini membuktikan bahawa kita disarankan untuk berusaha dengan seluruh kemampuan kita dan setelah itu kita disarankan untuk bertawakkal dan menyerah diri sepenuhnya kepada Allah sepertimana di dalam firmanNya di dalam ayat 3 surah al-Talaq yang bermaksud “Dan (ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat keapda Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya.”

Dr Jannatul Madihah binti Abu Bakar
Setiausaha WARAK Writers Pool, Exco Wanita Remaja dan Kanak-kanak,
Persatuan Amal Perubatan Ibnu Sina (PAPISMA).

Dr Aspalilah Alias
Pensyarah Anatomi, Fakulti Pergigian, USIM
Exco Wanita Remaja dan Kanak-kanak (WARAK),
Persatuan Amal Perubatan Ibnu Sina (PAPISMA).