Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) menganggap kenyataan Datuk Takiyuddin Hassan mengenai jemaah menteri menasihatkan Yang Dipertuan Agong tidak mengadakan sidang Parlimen dalam tempoh darurat seperti menghina institusi raja.

Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, bersesuaian dengan sumpah menjunjung Perlembagaan yang pihaknya berpegang teguh melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka dan mempertahankan Perlembagaan.

“Dalam perkara ini, BN memohon ampun kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sekiranya kenyataan Menteri tersebut menyinggung hati Duli Tuanku.

“BN mengsyorkan Ahli-ahli Dewan Rakyatnya menyeru YAB Perdana Menteri serta Jemaah Menteri untuk menghormati titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong supaya Sidang Parlimen diadakan dalam kadar segera, apatah lagi setelah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan dilonggarkan. Prinsip Keluhuran Perlembagaan perlu ditegakkan bagi membolehkan Parlimen memainkan peranan yang wajar dalam memastikan semak dan imbang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Meskipun begitu, katanya, BN dengan rendah diri merayu kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Tuanku Agong sekiranya diperkenankan untuk menitahkan Sidang Parlimen diadakan dengan kadar segera dengan menggunakan kuasa di bawah Seksyen 14 (1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 dibaca bersama Perkara 40 (2) Perlembagaan Persekutuan.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid juga sedia menghadap YDPA sekiranya diperkenankan bagi menyampaikan pandangan bagi pertumbuhan sosioekonomi negara terutamanya rakyat miskin.

“Sementalahan saya juga turut menzahirkan penghargaan kepada pihak kerajaan dalam merealisasikan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dan kepada para wira-wirawati petugas barisan hadapan dalam pengorbanan yang dicurahkan tanpa mengira masa dan penat dalam memerangi wabak Covid-19,” katanya.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Tidak ada sidang Parlimen dalam tempoh darurat – Takiyuddin