full scale MCO Minister at Prime Minister's Department, Datuk Takiyuddin Hassan. PIX: HAZROL ZAINAL / MalaysiaGazette / 25 FEBRUARY 2020. parliament sitting Malaysia
Minister at Prime Minister's Department, Datuk Takiyuddin Hassan. PIX: HAZROL ZAINAL / MalaysiaGazette / 25 FEBRUARY 2020.

KUALA LUMPUR – Parlimen tidak akan bersidang dalam tempoh darurat ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Beliau memberikan tiga alasan berkaitan dengan perundangan, sains dan data kenapa jemaah Menteri terpaksa menangguhkan Parlimen daripada bersidang mulai 11 Januari lalu hingga 1 Ogos ini.

Pertama, kata beliau, daripada segi alasan perundangan, Perlembagaan menyatakan dalam masa darurat, Yang di-Pertuan Agong boleh membuat ordinan di bawah Perkara 150 2B yang mana baginda telah mula membuatnya.

“Kedua, tumpuan kerajaan sekarang ini adalah untuk memerangi Covid-19 termasuk ahli-ahli Parlimen yang mana mereka juga barisan hadapan yang bertugas untuk memastikan rakyat di kawasan sama-sama menangani wabak ini.

“Tumpuan kerajaan ketika ini adalah Covid-19. Jadi, kita boleh tangguh dahulu sidang Parlimen ini. Saya memberi contoh, ketika darurat tahun 1969, Parlimen tidak bersidang selama dua tahun iaitu dari Februari 1969 hingga 20 Feruari 1971.

“Kenapa Parlimen ketika itu tidak bersidang? Kerana dalam masa darurat yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong,” katanya pada sidang media bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba hari ini.

Takiyuddin berkata, alasan ketiganya ialah kerajaan serius dalam usaha membendung pandemik Covid-19 termasuk kepada Ahli Parlimen.

Katanya, di Parlimen sekarang ada seramai 220 orang dan dua daripadanya meninggal dunia.

“Apa yang kita ambil berat dalam hal ini ialah, 77 daripada 220 Ahli Parlimen ini, berumur dari 61 hingga 69 tahun, yang berumur 70 hingga 79 tahun pula 19 orang dan berumur 80 tahun ke atas ada empat orang.

“Sedangkan, mereka ini adalah kumpulan yang berisiko dijangkiti Covid-19. Jadi, kerana kerajaan tidak mahu Ahli Parlimen terdedah dengan virus ini, maka sidangnya terpaksa ditangguhkan,” katanya.

Beliau berkata, jika Parlimen bersidang, bangunan itu akan padat dengan pegawai khas masing-masing dan pegawai kerajaan yang mewakili semua kementerian.

“Dengan keadaan begini, tidak timbul sama sekali kerajaan gantung Parlimen, kerana penangguhan ini dibuat hanya sehingga 1 Ogos ini sahaja, iaitu enam bulan 20 hari dari sekarang.

“Perdana Menteri pun sudah beri jaminan, habis tempoh darurat ini, akan dipanggil Parlimen bersidang,” katanya.

Beliau juga menjelaskan, kenyataan dari Istana Negara mengenai darurat dan sidang Parlimen baru-baru ini, adalah menjelaskan mengenai perkara yang dinyatakannya, iaitu tidak ada persidangan Parlimen

Namun demikian, tegas beliau, mana-mana sesi Parlimen yang hendak dipanggil mestilah berikutan dengan keputusan yang dibuat oleh Jemaah Menteri.

“Istana Negara menyatakan, kalau hendak diadakan sidang Parlimen, maka perlu adanya satu keputusan daripada Jemaah Menteri, bukan Perdana Menteri.

“Sekarang ini Jemaah Menteri menasihatkan Yang di-Pertuan Agong, bahawa tidak ada sidang Parlimen. Jadi, itulah keadaan sekarang ini,” katanya. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. kah kah kah alasan2 bodoh..dlm tahun 1969, apabila Darurat disytiharkan maka ditubuhkan kerajaan sementara iaitu Mageran dan kerajaan sedia ada dibubarkan…yg ni Darurat diisytiharkan tp kerajaan yg sama berkuasa? Ko ni belajar sejarah kat mana?

Comments are closed.