Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Datuk Seri Hamzah Zainuddin bercakap kepada media selepas menghadiri Mesyuarat Pimpinan Tertinggi Bersatu di Hotel Everly, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 04 MAC 2021.

PUTRAJAYA – Selepas setahun usia Perikatan Nasional (PN) semua parti diliihat berjaya bekerjasama antara satu sama lain, kata Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Menurutnya, apa yang penting pada waktu ini adalah kestabilan politik kerana ianya memberikan manfaat kepada rakyat.

Ujarnya lagi, semua parti yang berperanan dalam PN patut diberi penghargaan kerana berjaya mengekalkan kerajaan dalam tempoh ini.

“Kita semua sedang meraikan setahun Perikatan Nasional, fokus kita sepatutnya ke arah itu. Kita nak bincang semua, ucap terima kasih pada semua itu sepatutnya perkara penting.

“Sebab yang penting adalah kestabilan kerajaan ini. Bila bercakap tentang kestabilan politik, selepas setahun kita sedar semua pihak saling bekerjasama.

“(Kita) hendak menentukan supaya segala apa yang kita lakukan itu sesuatu yang baik untuk rakyat,” katanya ketika ditemui media selepas usai mesyuarat Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu di sini hari ini.

Terdahulu Hamzah memaklumkan, keputusan Bersatu mengenai hubungan bersama UMNO akan dinyatakan menerusi kenyataan rasmi yang dijangka dikeluarkan pada malam ini juga.

Bersatu mengadakan mesyurarat hari ini bagi membincangkan keputusan Majlis Tertinggi UMNO baru-baru ini untuk tidak mahu bekerjasama dengannya pada PRU-15. – MalaysiaGazette