Ismail Sabri Yaakob targeted domestic travel bubble tourism Langkawi
Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan mengenakan beberapa syarat perjalanan kepada individu dari Semenanjung ke Sabah termasuk Wilayah Persekutuan Labuan dan Sarawak sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP).

Antara syarat itu, setiap individu yang mendapat kebenaran polis untuk masuk ke Sabah melalui pintu masuk darat, laut atau udara perlu menjalani ujian saringan Covid-19 dalam tempoh tiga hari.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mereka yang mendapat keputusan negatif dan tidak bergejala sahaja dibenarkan masuk ke Sabah, Labuan dan Sarawak tanpa perlu menjalani kuarantin.

Bagaimanapun, katanya, mereka yang dari Sabah dan Sarawak hendak ke Semenanjung tidak perlu ujian saringan Covid-19 sebaliknya boleh terus ke mana-mana negeri dalam Semenanjung.

“Hendak keluar dari Sarawak ke Semenanjung tidak perlu swab test, mereka boleh terus datang manakala dari Sarawak ke Sabah, Labuan perlu swab test tiga hari sebelum berlepas.

“Hanya yang negatif dan tidak bergejala dibenarkan ke Sabah dan Labuan tanpa perlu kuarantin, namun, atas kehendak kerajaan Sarawak, larangan rentas negeri masih dikekalkan walaupun Sarawak bawah PKPB,” katanya pada sidang media mengenai Covid-19 hari ini.

Mengenai vaksinasi, Ismail Sabri berkata, sehingga semalam lebih 1.9 juta rakyat Malaysia telah mendaftar bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Jumlah itu agak kecil berbanding populasi keseluruhan rakyat yang ada dan kerajaan memberi masa secukupnya untuk mereka mendaftar menerusi aplikasi MySejahtera.

Katanya, vaksin penting bagi rakyat kerana yang hendak menunaikan haji dan umrah perlu divaksinasi terlebih dahulu sebagai memenuhi syarat ditetapkan kerajaan Arab Saudi.

Berhubung kesalahan aktiviti kelab malam, beliau menegaskan, selepas Ordinan Darurat dimulakan pada 11 Mac ini, denda bagi kesalahan itu akan dinaikkan daripada RM1,000 kepada RM10,000 dan RM50,000 hingga RM500,000.

Ujar beliau, operasi Task Force Pematuhan merekodkan kesalahan ingkar SOP PKP melibatkan aktiviti pusat hiburan paling banyak dan berulang-ulang.

“Mereka langsung tidak peduli. Penganjur kelab malam ini kalau setakat denda RM1,000 tidak kesan pun. Mereka tidak peduli apa yang diambil tindakan oleh polis, sebab keuntungan mereka buat dengan buka kelab malam haram ini berpuluh ribu ringgit satu malam.

“Sebab itu kita tingkatkan hukuman untuk syarikat RM50,000 hingga RM500,000. Kita harap dapat kurangkan aktiviti ini dan pengunjung juga akan berkurangan,” katanya. – MalaysiaGazette