Muka depan buku Impak Covid-19 Terhadap Insan.

KUALA LUMPUR – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menerbitkan buku bertajuk Impak Covid-19 Terhadap Insan hasil pengalaman sepanjang setahun berdepan dengan pandemik berkenaan.

Buku hasil penulisan Prof. Dr. Zafir Khan Mohamed Makhbul, Prof. Madya Datin Dr. Nor Liza Abdullah dan Fazilah Mohamad Hasun yang juga penyelidik Pusat Penciptaan Nilai dan Kesejahteraan Insan (INSAN), Fakulti Ekonomi dan Pengurusan (FEP) di UKM.

Buku yang sama juga bertujuan memberi kesedaran kepada semua insan tentang pentingnya mempersiapkan diri dengan pelbagai kemahiran dan ilmu pengetahuan berhadapan penularan Covid-19.

Ia mengetengahkan karya dan hasil penyelidikan bermutu yang sesuai untuk pembacaan khalayak umum, ahli akademik, pengurus dan penyelidik yang ingin memantapkan pengetahuan berkaitan isu pandemic Covid-19.

Pelancaran buku telah disempurnakan oleh Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Sri Dr. Adham Baba secara maya dan disiarkan di facebook rasmi UKM petang ini.

Terdahulu, Naib Canselor UKM, Tan Sri Prof. Dr. Mohd Ekhwan Toriman berkata, setiap bab dalam buku itu ditulis berdasarkan pengalaman ahli akademik dan juga berlandaskan penyelidikan saintifik.

“Konsep, teori, penemuan penyelidikan dan praktis yang diutarakan dalam buku ini boleh dimanfaatkan oleh segenap lapisan masyarakat tatkala mendepani pandemik Covid-19 yang memahat sejarah hitam yang sukar dilupakan,” katanya.

Beliau berkata pengalaman mendepani Covid-19 sedikit sebanyak telah memberi kesedaran kepada semua insan tentang pentingnya mempersiapkan diri dengan pelbagai kemahiran dan ilmu pengetahuan.

“Pembelajaran ini akan memudahkan setiap insan menerima perubahan dalam kehidupan dan memudahkan adaptasi norma baharu pasca Covid-19.

“Inilah antara intipati utama yang cuba ditonjolkan oleh penulis dalam setiap bab buku ini,” ujarnya.

Buku yang diterbitkan UKM itu mempunyai mempunyai sebanyak 14 bab dengan ketebalan 194 muka surat mengambil masa selama tujuh bulan untuk disiapkan. – MalaysiaGazette