Seramai 88 PATI yang berniaga di pasar Borong Selangor dicekup dalam Ops Khas IPD Serdang pagi tadi.-Foto ihsan IPD Serdang

SERDANG – Seramai 88 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) yang berniaga tanpa lesen di Pasar Borong Selangor ditangkap.

Timbalan Ketua Polis Daerah Serdang Superintendan Mohd Rosdi Daud berkata, bertindak atas maklumat awam dan hasil risikan IPD Serdang, Ops Bersepadu Khas dijalankan di pasar tersebut jam 9 pagi tadi.

“Dalam operasi ini telah berjaya membuat tangkapan seramai 88 orang PATI termasuk 78 warga Myanmar, lapan warga Bangladesh dan masing-masing seorang warga Nepal dan Indonesia.

“Berdasarkan maklumat risikan yang pihak kami jalankan, kebanyakkan PATI  yang berada di Pasar Borong ini menjalankan perniagaan tanpa lesen yang sah dan lebih mengejutkan mereka juga tidak mempunyai dokumen perjalanan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan kejayaan tersebut sebentar tadi.

Seramai 10 pegawai dan 92 anggota polis telah terlibat dalam operasi berkenaan.

 

Antara PATI yang dicekup ketika berniaga di pasar Borong Selangor alam Ops Khas IPD Serdang pagi tadi.-Foto ihsan IPD Serdang

Tambah beliau, pihak IPD Serdang sentiasa membuat pemantauan segala aktiviti di pasar borong itu terutama yang melibatkan warga asing bagi bertujuan mencegah aktiviti jenayah.

“Dalam operasi ini juga pihak IPD Serdang mensasarkan lot-lot yang dikenalpasti mempunyai pekerja asing yang dipercayai tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan diri yang sah.

“Jumlah keseluruhan lot perniagaan yang terdapat di Pasar Borong Selangor adalah sebanyak 320 lot dan kesemua tangkapan adalah berumur antara 20 hingga 50 tahun.

“Mereka dibawa balik ke IPD Serdang dan disiasat dibawah Seksyen 6(1)c Akta Imigresen 1959/63 dan jika disabitkan kesalahan mereka boleh dikenakan denda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali dan boleh dikenakan tidak lebih daripada 6 kali sebatan,” katanya.

Menurut beliau, IPD Serdang amat memandang serius isu pendatang tanpa izin yang sering mendatangkan kegusaran pada masyarakat .- MalaysiaGazette