Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Tugas Ketua Pegawai Media Barisan Nasional (BN) digantung bagi tempoh sebulan berkuatkuasa serta-merta.

Tindakan ini dibuat selepas satu Jawatankuasa Siasatan Dalaman diwujudkan bagi membincangkan penyiaran kenyataan media Pengerusi Barisan Nasional yang didakwa tidak mendapat kelulusan Sekretariat Dewan Tertinggi Barisan Nasional.

Kenyataan media itu didakwa kurang tepat sebagaimana yang dibincang dan diputuskan dalam mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional, kata Setiausaha Eksekutif Barisan Nasional, Mohamad Sahfri Ab Aziz.

“Maka setelah mendengar pandangan Jawatankuasa Siasatan Dalaman, saya telah menggantung tugas Ketua Pegawai MEdia BN bagi tempoh satu bulan berkuatkuasa serta-merta,” katanya dalam satu kenyataan.

Tindakan ini, menurutnya membolehkan proses siasatan dalaman dapat dilaksanakan dengan lebih terperinci dan lebih berkesan.

Semalam, Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid merayu Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, untuk menitahkan sidang Parlimen diadakan dengan segera.

Ahmad Zahid juga mengesyorkan Ahli-Ahli Dewan Rakyat menyeru Perdana Menteri dan Jemaah Menteri menghormati titah baginda agar sidang Parlimen diadakan segera selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilonggarkan. – MalaysiaGazette