Beregu campuran profesional negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing

KUALA LUMPUR – Beregu campuran profesional negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing meneruskan rentak cemerlang apabila mara ke separuh akhir Terbuka Switzerland, malam tadi.

Pasangan itu mengetepikan beregu India, Satwiksairaj Rankireddy-Ashwini Ponappa 21-17, 16-21, 21-18 dalam aksi suku akhir kejohanan yang berlangsung di Basel.

Pei Jing digugurkan daripada skuad kebangsaan, awal bulan lalu manakala Kian Meng membuat keputusan untuk meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bagi kekal bergandingan bersama pasangannya itu bagi memburu tiket ke Sukan Olimpik Tokyo, Julai depan.

Saingan Terbuka Switzerland kali ini turut menawarkan mata kelayakan ke Tokyo.

Sementara itu, satu lagi beregu campuran profesional, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying gagal meneruskan aksi cemerlang apabila terkandas di peringkat suku akhir.

Pasangan pilihan pertama itu tewas kepada pasangan Denmark, Mathias Christiansen-Alexandra Boje 21-14, 19-21, 15-21. – MalaysiaGazette