PKPD dilaksanakan di Kg. Bergosong, Tawau, Sabah.

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Kampung Serumah Daerah Kecil Siburan, Bahagian Serian, Sarawak bermula esok hingga 20 Mac ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, setakat semalam sebanyak 416 ujian saringan telah dijalankan dan daripada jumlah itu, 21 kes positif Covid-19 telah direkodkan.

KKM mengesahkan masih berlaku penularan kes melibatkan penduduk di lokaliti terbabit.

Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas 580 penduduk serta mengesan beberapa lagi kontak rapat.

Sementara itu, PKPD di asrama, kilang dan tapak binaan Central Medicare, Hilir Perak, Perak tamat esok, seperti yang dijadualkan.

Sehingga kini, Kementerian Kesihatan telah melaksanakan 2,074 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatif sebanyak 1,650 kes positif Covid-19 telah direkodkan.

KKM mengesahkan terdapat penurunan kes dan kluster adalah terkawal.

Semua kes positif telah menerima rawatan dan kontak rapat telah diasingkan dan dipantau, katanya lagi.

Dalam kenyataan hari ini, Ismail Sabri berkata, seramai 7,052 warga asing telah menjalani ujian saringan Covid-19 sehingga semalam dan daripada jumlah itu, 49 orang didapati positif.

Secara kumulatifnya, Kementerian Sumber Manusia (KSM) memaklumkan seramai 582,347 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan yang melibatkan 30,467 majikan.

Daripada jumlah itu, seramai 9,187 orang telah disahkan positif manakala 573,160 lagi adalah negatif.

Sehingga kini, sebanyak 1,508 buah klinik telah terlibat dengan program saringan ini. – MalaysiaGazette