Ibrahim Ali
Dr. Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) berhasrat untuk bertanding di 45 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kelantan pada Pilihan Raya Umum (PRU15) akan datang.

Presidennya, Datuk Dr Ibrahim Ali berkata, beberapa isu yang masih belum diselesaikan oleh kerajaan negeri berkenaan ketika ini memungkinkan Putra menjadi pilihan warga Kelantan yang sudah “serik” dengan keadaan dihadapi ketika ini.

Katanya, beliau melihat parti yang dikemudinya itu mendapat sambutan luar biasa dalam kalangan warga Kelantan dan juga Perak.

“Saya tak boleh kata kita dapat sapu semua (kerusi) di Kelantan. Cuma kita dapat lihat rakyat di negeri itu gelisah dan mahu kepada perubahan.

“Mungkin mereka dah lama sangat dengan Pas dan Pas tak menunaikan janji. Slogan Pas membangun bersama Islam akhirnya tinggal retorik saja,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Pertama Ahli Dewan Tertinggi (ADT) Putra di sini hari ini.

Menurut Ibrahim, rakyat Kelantan sudah tidak lagi tertahan dengan masalah yang dihadapi seperti isu air, pelbagai kenaikan cukai serta beberapa isu-isu tempatan yang spesifik dan berpanjangan.

Katanya lagi, kemelut yang berlaku di Kelantan telah menyebabkan ramai warga negeri itu berhijrah daripada tinggal di tanah kelahiran mereka sendiri ekoran tidak lagi tertahan untuk berdepan dengan situasi yang dirasai.

Jelas beliau, Kelantan merupakan sebuah negeri yang diketahui umum kaya dengan pelbagai sumber alam selain terkenal dengan budaya dan makanan yang enak.

Namun katanya, orang Kelantan tidak lagi mahu tinggal di negeri sendiri kerana keadaan-keadaan tertentu yang tidak menjamin kehidupan mereka pada masa hadapan.

“Sebagai seorang anak Kelantan dan sebelum mata saya pejam rapat, saya berhasrat dan bercadang untuk melakukan sesuatu terhadap negeri Kelantan.

“Saya yakin, saya boleh melakukan yang terbaik untuk negeri Kelantan. Kelantan boleh jadi negeri yang hebat,” ujarnya.

Justeru, beliau berharap agar rakyat Kelantan memberikan kepercayaan kepada Putra untuk mengubah negeri tersebut sebagai sebuah negeri yang setanding dan lebih baik daripada negeri-negeri lain.

“Saya minta rakyat Kelantan beri kami peluang sekali. Saya Ibrahim Ali akan bawa perubahan terhadap negeri ini,” katanya.

Menurut Ibrahim lagi, bagi tujuan itu Putra hanya memerlukan 23 kerusi untuk dimenangi pada PRU akan datang bagi membentuk kerajaan.

Tambahnya, beliau sendiri mempunyai pengalaman yang luas dalam politik dan yakin mampu memacu Kelantan lebih baik daripada pemimpin kerajaan negeri yang ada pada masa ini.

Terdahulu, pada sidang media berkenaan, Ibrahim memaklumkan Putra kini sudah diperkemaskan dengan wujudnya ADT Putra yang sudah pun lengkap.

Jelas beliau, Sebanyak 36 ADT dipilih mengikut Perlembangan yang mana 25 daripadanya dipilih ketika Perhimpunan Agung Putra yang diadakan setiap tiga tahun sekali manakala 11 lantikan oleh presiden mengikut Perlembagaan.

Katanya lagi, selain memiliki biro di setiap negeri di Semenanjung dan Sabah Putra juga mewujudkan tiga kluster yang akan bertindak menumpukan perjuangan terhadap perkara-perkara yang digariskan.

Tiga kluster tersebut adalah Kluster Perjuangan Tanah Rezab Melayu. Kluster Perjuangan Memperkasakan Mahkamah Syarikah dan Rang Undang-Undang 355 serta Kluster Perjuangan Sekolah Satu Aliran. – MalaysiaGazette