Dr. Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Dakwaan yang mengatakan bahawa terdapat individu cuba menyogok Ahli Parlimen Sekijang, Natrah Ismail bagi memberi sokongan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin disifatkan sebagai satu “tragedi” sekiranya perkara itu benar-benar berlaku.

Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Dr Ibrahim Ali berkata, pihaknya memandang serius perkara itu dan menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertindak terhadap mereka yang terlibat.

Katanya, cubaan memberi sogokan untuk membeli orang politik bagi meraih sokongan sudah menjadi-jadi dan ia sememangnya perlu dihentikan.

“Dulu saya tukar parti kerana dikecam atas dasar perjungan bukan kerana ada apa-apa kes. Ini melibatkan jutaan (ringgit) yang boleh ditafsirkan sebagai rasuah.

“Kalau ini yang terjadi dalam negara, pada masa sama pemimpin kerajaan melaungkan untuk membanteras rasuah. Tapi kalau benar, kononnya ada berlaku rasuah tapi saya tak pasti sebab laporan dibuat ke SPRM, jadi kenalah siasat. Kalau betul ini tragedi.

“Tragedi disebabkan kerajaan yang nak basmi rasuah terlibat dengan perkara itu. Ini tragedi yang tak boleh kita terima,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Menurut Ibrahim, dalam usaha untuk membanteras perkara itu daripada berleluasa, Putra akan memastikan aktiviti rasuah dapat hapuskan sepenuhnya sekiranya parti itu mendapat mandat untuk mengusai Dewan Rakyat.

Ujarnya, perkara tersebut sememangnya menjadi agenda utama dalam perjuangan Putra dan matlamat itu akan cuba dicapai dengan bersungguh-sungguh jika rakyat memberi kepercayaan sepenuh hati terhadap parti tersebut.

Justeru beliau berkata, Putra mencadangkan agar diwujudkan satu kaedah baharu dalam menangani pelakuan amalan rasuah yang mana bukan sahaja penerima yang dikenakan hukuman malah, tindakan sama turut diambil kepada pemberi rasuah.

Sebelum ini Natrah mendakwa beliau dikunjungi dua individu termasuk seorang bergelar Datuk Seri yang menawarkan ganjaran sekiranya beliau memberi sokongan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dakwa Natrah, dalam pertemuan pada Rabu lalu, dua individu terbabit menyatakan keinginan untuk membantu beliau meneruskan usaha sebagai seorang Ahli Parlimen selepas melakukan kerja dengan baik di Sekijang.

Natrah berkata, beliau telah melaporkan perkara tersebut kepada pucuk pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR). – MalaysiaGazette