Natrah Ismail

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Sekijang, Natrah Ismail hadir di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membuat laporan berhubung cubaan menyogoknya bagi mendapatkan sokongan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau membuat laporan itu berdasarkan Seksyen 25 Akta SPRM 2009, berkenaan kewajipan melapporkan tawaran suapan.

“Hari ini saya telah membuat satu laporan kepada SPRM berkenaan satu kejadian percubaan mendapatkan sokongan saya terhadap Perdana Menteri, dengan janji manfaat yang boleh saya perolehi dengan pemberian sokongan tersebut.

“Kejadian itu telah berlaku pada 3 Mac lalu dan melibatkan dua individu termasuk seorang yang bergelar ‘Datuk Seri’.

“Saya berharap SPRM akan dapat menyiasat perkara ini pada kadar segera,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, SPRM dalam satu kenyataan menasihatkan Ahli Parlimen itu untuk tampil membuat laporan kepada pihak berkenaan, susulan dakwaan ada individu cuba menyogoknya supaya keluar dari partinya.

SPRM memaklumkan, Natrah perlu membuat aduan itu kepada pihaknya jika menganggap perkara itu sebagai perlakuan rasuah.

Menurut Natrah, beliau berulang kali menegaskan tidak berminat untuk memberi sokongan kepada Muhyiddin, dan tidak mahu mengkhianati partinya PKR, pimpinan dan yang penting pengundi Parlimen Sekijang.

“Kepada mereka yang masih berusaha untuk mengubah sokongan Ahli-Ahli Parlimen parti PKR atau pembangkang amnya, berhentilah. Kerajaan minoriti yang kamu cuba selamatkan itu sudah seperti telur di hujung tanduk,” katanya. – MalaysiaGazette