Director-General of Health, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. PIX: MalaysiaGazette
Director-General of Health, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. PIX: MalaysiaGazette

KUALA LUMPUR – Kluster Covid-19 membabitkan pusat tahanan dikesan di dua buah negeri hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kluster Depoh Tahanan Imigresen (DTI) Persiaran Wawasan dikesan di Perlis manakala Kluster Jalan Awang di Sarawak.

“Kluster ini melibatkan sebuah DTI yang terletak di Persiaran Wawasan, Kangar. Sehingga 7 Mac lalu, sejumlah 32 individu telah disaring, di mana 14 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini.

“Kluster Jalan Awang melibatkan daerah Sibu di Sarawak. Kes-kes dalam kluster ini dilaporkan positif Covid-19 pada 7 Mac, hasil saringan bersasar sebuah pusat tahanan yang terletak di Jalan Awang Ramli Amit, Sibu.

“Sehingga 7 Mac, sejumlah 43 individu telah disaring, di mana 42 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini,” kata Noor Hisham dalam kenyataan hari ini.

Kedua-dua kluster itu adalah antara lapan kluster yang dikesan Kementerian Kesihatan hari ini.

Antara lain adalah lima kluster tempat kerja yang berlaku di Selangor, Sabah, Johor dan Kuala Lumpur.

Kluster Kemuning Enam berlaku di Klang pula melibatkan sebuah kilang dengan 44 kes, Kluster Jalan Sungai melibatkan daerah Hulu Langat dengan enam kes positif Covid-19.

Kluster Industri Inanam Sabah melibatkan pekerja-pekerja sebuah kilang yang terletak di Jalan Tuaran dengan 20 kes, Kluster Jalan Industri Tiga di daerah Pontian melibatkan 18 kes dan Kluster Tapai Bina Jalan Satu di daerah Lembah Pantai menjangkiti seramai 12 individu.

Sementara itu, Kluster Kiba di Sibu merupakan satu-satunya kluster komuniti yang dikesan hari ini.

Ia merupakan kes positif Covid-19 tertinggi dimana 33 individu direkodkan dijangkiti Covid-19.

“Kluster komuniti ini melibatkan daerah Sibu di Sarawak.

“Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-304,043 dilaporkan positif Covid-19 pada 2 Mac hasil saringan individu bergejala,” kata Noor Hisham. – MalaysiaGazette