Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

KUALA LUMPUR – Jumlah kes baharu positif Covid-19 terus menunjukkan penurunan dan hari ini hanya mencatatkan sebanyak 1,683 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, ia melibatkan sebanyak 1,673 kes penularan tempatan.

“Sebanyak 1,132 kes penularan warganegara manakala 541 kes lagi melibatkan kes bukan warganegara,” demikian menurut Twitternya hari ini.

Daripada 1,683 kes itu, menurut Noor Hisham, 10 merupakan kes import melibatkan enam kes bukan warganegara.

Jumlah terbaharu itu menjadikan jangkitan Covid-19 di negara ini mencecah 313,460 kes.

Angka kes sembuh sebanyak direkodkan hari ini adalah 2,506 sekali gus menjadikan kes sembuh keseluruhan adalah sebanyak 291,958 atau 93.14 peratus.

Dalam pada itu, jumlah kes aktif pula seramai 20,333 kes dengan jumlah di unit rawatan rapi sebanyak 174 kes dan 81 memerlukan bantuan pernafasan.

Jumlah kematian hari ini berkurangan kepada tiga kes sahaja berbanding tujuh semalam.

Setakat ini jumlah kematian adalah sebanyak 1,169 kes. – MalaysiaGazette