Usia senja tidak halang Buziyah sampai ke puncak gunung Kinabalu, Sabah.

GEORGE TOWN – Walaupun usia sudah menjengah 61 tahun namun ia tidak menjadi halangan buat nenek kepada tiga orang cucu melibatkan diri dalam aktiviti mendaki bukit dan gunung.

Lebih menarik lagi, Buziyah Ahmad Tajuddin yang lebih mesra dengan panggilan Mak Teh Baling itu antara individu yang berjaya menakluk Gunung Kinabalu ketika berusia 60 tahun.

Buziyah melihat sijil yang diperoleh ketika mendaki Gunung Kinabalu.

Menceritakan pengalaman mendaki bukit dan gunung, Buziyah berkata, dia melibatkan diri dalam aktiviti pendakian sejak berusia 18 tahun dan hampir 100 gunung dan bukit dalam serta luar negara sudah didakinya.

Antara gunung yang didaki termasuk Gunung Kinabalu, Gunung Pulai, Gunung Kemerlong, Gunung Baling, Gunung Rinjani dan Gunung Kelicik di Indonesia serta Tembok Besar China.

Buziyah akan mengenakan baju kurung Kedah ketika sampai ke puncak setiap gunung didakinya.

Jelas wanita berasal dari Baling itu, gemar aktiviti mencabar menjadi tonggak utama dirinya untuk terus berada dalam kumpulan pendaki walaupun sudah bergelar nenek.

“Saya tidak mahu mempersiakan peluang yang diperoleh kerana tidak semua wanita diberikan kebebasan sebegini tambahan pula bila bergelar suri rumah yang memerlukan masa banyak untuk menjaga kebajikan keluarga.

“Penat itu tidak pernah ada dalam kamus hidup saya ketika melakukan aktiviti pendakian malah saya lebih aktif saat itu.

“Selain itu, mendaki bukit serta gunung ini memberikan saya satu kepuasan di mana dapat melihat alam semula jadi sekali gus menghayati ciptaan Tuhan,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Nenek kepada tiga orang cucu itu tidak melepaskan merakamkan gambar kenangan di setiap gunung yang didakinya.

Mengulas mengenai penjagaan kesihatan, Buziyah memberitahu dia menjaga waktu tidur serta pemakanan dirinya.

“Bagi saya semua wanita mampu sihat sekiranya mereka menjaga waktu tidur serta pemakanan sebagai contoh saya hanya makan makanan rebus bagi memastikan stamina kekal pada usia sebegini,” katanya.

Tambah Buziyah, sokongan daripada suami dan anak-anak membuatkan dirinya kini mampu menjadi malim kepada anak muda yang ingin menakluk gunung sekitar Kedah.

“Ramai anak muda dari ibu kota, Negeri Sembilan akan meminta saya mengetuai mereka mendaki gunung dan ia sedikit sebanyak memberi semangat untuk saya terus kekal menceburi diri dalam aktiviti pendakian.

Anak muda akan memilih Buziyah mengetuai pendakian gunung di sekitar Kedah susulan memiliki pengalaman luas dalam akitviti lasak itu

“Gunung Pulai memang kegemaran warga asing kerana laluanya yang mencabar. Jadi mereka akan meminta saya untuk turut bersama ekspedisi tersebut sebab ramai tahu dua gunung itu adalah ‘makanan’ saya,” jelas Buziyah. -MalaysiaGazette