Dr Adham dan Khairy pada sidang media yangd iadakan secara maya hari ini

KUALA LUMPUR – Semua vaksin Covid-19 yang dibawa masuk ke negara ini akan menjalani tapisan ketat daripada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, walaupun kelulusan telah diberikan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) namun kerajaan tetap mahu memastikan vaksin yang dibawa masuk itu selamat digunakan penerima pada fasa pertama program imunisasi.

Katanya, apa yang penting dan didahulukan adalah keselamatan terhadap penerima yang akan mendapat vaksin berkenaan.

“Kelulusan yang diperoleh NPRA adalah sangat meyakinkan dan kita akan teruskan pemberian vaksin setelah kita dapat kelulusan bersyarat daripada NPRA,” katanya pada sidang media perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan secara dalam talian hari ini.

Adham berkata demikian selepas ditanya mengenai sekatan yang dibuat oleh pihak berkuasa Australia terhadap vaksin AstraZeneca yang didakwa telah menyebabkan kematian seorang penerimanya.

Turut serta pada sidang media itu Menteri Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin.

Sementara itu, Khairy ketika menjawab pertanyaan wartawan berhubung segelintir pihak yang cuba memotong giliran penerimaan suntikan vaksin berkenaan berkata, pihaknya telah bertindak membatalkan temujanji tersebut.

“Dalam kes terkini mungkin tidak disengajakan, ada satu tempat yang menjadualkan mereka yang tidak berdaftar atau tidak tersenarai dalam fasa pertama telah saya batalkan temujanjinya,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Khairy memberitahu, Jawatankuasa Jaminan Akses telah menubuhkan satu jawatankuasa kecil yang akan melihat permohonan seperti yang diterima daripada pengamal media.

Ujarnya, ketika ini jawatankuasa berkenaan belum lagi menyenaraikan media sebagai individu yang terlibat dalam fasa pertama.

Bagaimanapun, perkembangan terkini perkara itu akan diumumkan kepada media selepas keputusan diperoleh dalam satu mesyaurat yang bakal didakan pada Khamis ini. – MalaysiaGazette