KUALA LUMPUR – Pas Selangor tidak pernah sesekali mempermainkan kerjasama politik dengan UMNO dalam Muafakat Nasional (MN) meskipun dalam masa sama mempertahankan Perikatan Nasional (PN).
Ketua Dewan Pemuda Pas Selangor, Hanafi Zulkapli berkata, parti itu tidak pernah jemu dengan kerjasama dalam kedua-dua gabungan tersebut kerana ia adalah tanggungjawab dan amanah yang cukup besar untuk dilaksanakan.
“Inilah tanggungjawab yang diberikan oleh pucuk pimpinan tertinggi kepada Badan Perhubungan Negeri agar membawa naratif memperkukuhkan MN dan mempertahankan PN.
“Selepas ini, mungkin rakyat akan melihat pertemuan Pas dengan rakan-rakan parti komponen PN pula untuk membuka ruang musyawarah bersama.
“Ia bagi merealisasikan mempertahankan kerajaan dan gabungan politik demi kebajikan serta kebaikan untuk rakyat,” katanya dalam hantaran terbaru di Facebook miliknya, hari ini.
Hanafi juga mengakui kelebihan MN Selangor yang mana mereka boleh bermusyawarah dan terbuka dalam menerima sisi pandang berbeza yang serius mampu ditukar kepada menghormati dan boleh berseloroh.
“Masing-masing boleh mempertahankan prinsip parti dan bersedia dalam keadaan fleksibel mencantumkan perkara-perkara bersifat teknikal.
“Kita begitu yakin dengan kesatuan rakan-rakan politik dalam mengurus perbezaan adalah formula terbaik bagi mengembalikan kepercayaan rakyat untuk memberi mandat dalam PRU15,” katanya.
Menurutnya, komposisi kerusi mengikut umur, bangsa, dan non partisan di Dewan Negeri Selangor dan Parlimen sebenarnya mencerminkan wajah sebenar Malaysia.
Katanya, undi anak muda berada pada peratusan yang cukup tinggi dalam menentukan parti dan gabungan yang akan diberi mandat untuk mengurus tadbir Selangor.
“Saya menyuarakan kebimbangan dengan perkembangan celik politik anak muda kini bagi menghadapi PRU15.
“Parti perlu memberi perhatian kepada anak muda yang tidak berparti. Ini kerana peratus mereka adalah lebih tinggi berbanding ahli pemuda dalam parti.
“Namun masih ramai belum berdaftar sebagai pemilih, bahkan mereka masih belum menentukan parti dan gabungan politik mana menjadi pilihan mereka,” katanya. – MalaysiaGazette
















