Pengerusi Kumpulan Prasarana, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman bercakap pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja di Depot LRT Ampang, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 09 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – UMNO menyasarkan untuk bertanding 120 kerusi Parlimen sekiranya parti itu yang mewakili Barisan Nasional (BN) itu bertanding secara bersendirian pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Pengarah Pilihan Raya BN, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, jika parti itu masih bekerjasama dengan Pas, UMNO mensasarkan bertanding sebanyak 96 kerusi.

“Selebihnya Pas boleh bertanding tidak kisah lebih 20, 30 ke, 40 kerusi Parlimen,” katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja di Depoh LRT Ampang hari ini.

Sebelum ini, UMNO menyuarakan pendirian untuk tidak bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada pilihan raya akan datang.

Malah parti itu telah menyuarakan keputusan menerusi surat pemakluman yang diserahkan kepada Presiden Bersatu. Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Namun, Pas akan meneruskan kerjasama dengan kedua-dua parti berkenaan menerusi Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN).

Menurut Tajudin, beliau yakin UMNO boleh memenangi 90 kerusi Parlimen, sekali gus kembali mentadbir negara.

“UMNO akan bangkit semula membentuk kerajaan lepas pilihan raya,” ujarnya. – MalaysiaGazette