Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

MARAN – “Pas dan UMNO memang sudah yakin dari dulu lagi. Tiada apa hendak diyakinkan lagi, memang yakin.”

Demikian reaksi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang menaruh harapan tinggi permuafakatan yang terjalin antara UMNO dan Pas di Pahang terus kekal utuh.

Menurutnya, poliitik yang stabil antara kedua-dua parti itu diyakini membawa kemenangan besar seperti kejayaan di Pilihan Raya Kecil Cameron Higlands lalu.

“Kerjasama muafakat UMNO dan Pas di Cameron Highlands sebelum ini terbukti berkesan dan membawa kemenangan dengan majoriti besar.

“Sejak Muafakat Nasional dimeterai, kerjasama yang baik dilihat memberi manfaat kepada rakyat kerana berupaya memberi perkhidmatan terbaik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada MalaysiaGazette selepas penyerahan Bantuan Wang Ihsan kepada penduduk Maran di Kampung Jara, Kuala Sentul hari ini.

Pada perkembangan berkaitan Wan Rosdy berkata, kejayaan kerajaan negeri dan kerjasama dengan Pas dilihat kolaborasi terbaik apabila berjaya menangani isu Covid-19 dan banjir baru-baru ini.

Jelasnya, rakyat perlu memahami masyarakat Malaysia majmuk dan kestabilan politik menjadi penunjuk utama untuk memimpin negeri dan negara.

Dalam pada itu, Wan Rosdy juga bersyukur kejayaan pemerintahan kerajaan di Pahang didokong oleh pimpinan Pas dan Barisan Nasional.

Ketika diminta mengulas lanjut tentang penerimaan rakyat Pahang terhadap kerjasama yang sama, beliau menjelaskan kedua-dua parti saling menerima antara satu sama lain.

“Saya dah jumpa kepimpinan Pas, mereka bersama dengan kita..kita memang bersama dengan mereka sejak awal lagi.

“Yang saya tahu Pas memang ingin bersama UMNO dan UMNO pun ingin bersama Pas, sebabnya kita kekal bersama daripada 15 Mei 2018 sampai sekarang,” ujarnya.

Beliau yakin gabungan mereka boleh memberi perkhidmatan yang terbaik untuk rakyat kerana tiada tersangkut dengan masalah politik.

Justeru beliau menegaskan rakyat perlu mengenang siapa yang mengaruk air, yang memikul beras demi memberi bantuan kepada rakyat semasa dilanda banjir buruk.

“Kita bersyukur genap 15 Mac genap setahun kerajaan memerintah Pahang, saya dibantu rakan-rakan BN dan Pas.

“Kami sudah buat sehabis baik untuk rakyat negeri Pahang Daripada tiada duit sehingga ada duit,” jelas beliau. – MalaysiaGazette