Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Nik Ezanee Mohd Faisal (dua kanan) menunjukkan bekalan ganja yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Petaling Jaya. Foto SHAFIY ZUL, 10 MAC 2021.

PETALING JAYA – Seramai 10 individu ditahan Isnin lalu dalam tiga serbuan berasingan di Kampung Sungai Kayu Ara dan Bandar Utama, di sini, kerana disyaki terbabit dengan aktiviti pengedaran dadah.

Serbuan pertama yang dilakukan oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Petaling Jaya membabitkan penahanan seorang peniaga kedai runcit berusia 25 tahun di kedainya di Kampung Sungai Kayu Ara Damansara pada jam 9 malam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, hasil pemeriksaan polis di dalam kedai itu menemukan polis dengan ketulan mampat ganja seberat 505 gram yang disimpan di dalam peti sejuk.

“Hasil soal siasat suspek seterusnya membawa polis ke sebuah rumah yang terletak sebelah kedai runcitnya dan berjaya menemui 80 gram ganja dalam plastik lutsinar yang turut disimpan di dalam peti ais.

“Keseluruhan dadah itu dianggarkan bernilai RM5,500,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Menurut Nik Ezanee, sejam selepas suspek ditahan, polis menyerbu sebuah rumah di Kampung Sungai Ara dan menahan tujuh suspek lelaki berusia antara 19 hingga 25 tahun.

Polis turut menemui ketulan mampat ganja seberat 1,875 gram di dalam sebuah beg galas yang dianggarkan bernilai RM5,360.

Bekalan ganja yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Petaling Jaya. Foto SHAFIY ZUL, 10 MAC 2021.

Tambah beliau, siasatan polis mendapati kesemua suspek menerima bekalan ganja itu dari negara jiran untuk kegunaan di sekitar Lembah Klang.

Menurutu Nik Ezanee, sindiket itu bergiat aktif dalam pengedaran ganja sejak September tahun lalu.

Katanya, lima daripada suspek tu memiliki rekod jenayah lampau bersabit jenayah dan dadah di bawah Seksyen 379(a) dan 380 Kanun Keseksaan namun kesemuanya negatif dalam ujian saringan air kencing.

Mereka direman tujuh hari bermula semalam hingga 15 Mac ini untuk disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Nik Ezanee berkata, dalam serbuan yang sama, sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur turut menahan dua lelaki berusia 29 dan 30 tahun di sebuah rumah di Bandar Utama yang disyaki mempunyai kaitan dengan tangkapan di Kampung Sungai Kayu Ara.

“Pemeriksaan lanjut di rumah dua suspek itu, polis menemui 1,780 gram dadah disyaki ganja dianggarkan bernilai RM9,000, wang tunai RM35,000 dan sebuah kereta jenis Honda Civic disita kemudian,” kata beliau.

Kedua-dua suspek itu tidak memiliki sebarang rekod jenayah lampau tetapi diuji positif dadah menerusi ujian air kencing dan turut direman tujuh hari sehingga 15 Mac ini, ujarnya.

“Kita kini sedang menyiasat kaitan dan rangkaian antara kedua-dua sindiket ini dengan aktiviti pengedaran dadah,” kata Nik Ezanee. – MalaysiaGazette