Anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menjalankan pemeriksaan ke atas motosikal yang didapati tidak mengikut spesifikasi ditetapkan menerusi Operasi Pengarah Kesalahan Teknikal di lorong motosikal Plaza Tol Batu 9, Cheras, Selangor.

CHERAS – Sebanyak 1,050 buah motosikal diperiksa dengan 151 daripadanya dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan menerusi Operasi Pengarah ‘Kesalahan Teknikal’ di lorong motosikal Plaza Tol Batu 9 di sini hari ini.

Operasi yang bermula pada pukul 3 petang dan berakhir pada pukul 6.30 petang tadi dijalankan oleh 50 pegawai dan anggota dari Jabatan Pengangkutan Jalan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPJ WPKL).

Pengarah JPJ WPKL, Mohd. Zaki Ismail berkata, menerusi operasi lebih tiga jam di lorong motosikal itu sebanyak 344 kesalahan berjaya dikesan.

Menurut beliau, 17 daripadanya merupakan kesalahan tiada insurans kenderaan, 206 membabitkan lesen, nombor plat kenderaan tidak mengikut spesifikasi (86), ubah suai ekzos (3) manakala lain-lain kesalahan teknikal melibatkan tiada cermin sisi, tayar tidak mengikut spesifikasi dan lampu brek tidak berfungsi (32).

Anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menjalankan pemeriksaan ke atas motosikal yang didapati tidak mengikut spesifikasi ditetapkan menerusi Operasi Pengarah Kesalahan Teknikal di lorong motosikal Plaza Tol Batu 9, Cheras, Selangor.

“Operasi ini memfokuskan kesalahan-kesalahan teknikal ke atas motosika,  selain turut memberi advokasi kepada penunggang supaya mereka ini mematuhi peraturan dibawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan Kaedah-Kaedah Pengangkutan Jalan.

“Kami tidak hanya melakukan operasi ini semata-mata mahu mencari kesalahan tetapi untuk memastikan setiap pengguna jalan raya selamat dari segi spesifikasi kenderaan kerana ia sangat-sangat penting.

“Kita ambil contoh jika tayar kecil dan tidak stabil bukan hanya membahayakan nyawa penunggang malah pengguna jalan raya yang lain,” katanya ketika sidang media selepas Operasi Pengarah ‘Kesalahan Teknikal’ hari ini.

Anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menjalankan pemeriksaan ke atas motosikal yang didapati tidak mengikut spesifikasi ditetapkan menerusi Operasi Pengarah Kesalahan Teknikal di lorong motosikal Plaza Tol Batu 9, Cheras, Selangor.

Tambah Mohd. Zaki, anggota yang menjalankan operasi bukan sahaja mengeluarkan saman tetapi turut memberi penerangan tentang kesalahan yang dilakukan oleh pengguna supaya mereka dapat mengubah kembali mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan.

Mohd. Zaki meminta anggota bertugas supaya menasihati pengguna secara berhemah terutamanya mengenai kepentingan jenis tayar yang dibenarkan, nombor plat kenderaan serta helmet yang mengikut spesifikasi.

“Contoh nombor plat ‘fancy’ apabila berlakunya kemalangan langgar lari atau jenayah kita tidak dapat mengesan dengan betul nombor tersebut kerana ia kabur atau terlalu kecil.

“Nombor plat kenderaan ini penting terutamanya apabila berlaku kemalangan jalan raya,” ujarnya. – MalaysiaGazette