Menerusi Plan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) kerajaan memperkenalkan Program MY30 di mana pengguna hanya perlu membayar RM30 sebulan untuk menikmati pas perjalanan tanpa had. foto AFFAN FAUZI, 05 JUN 2020

PUTRAJAYA – Inisiatif kerajaan Perikatan Nasional membuat penambahbaikan kepada pas perjalanan tanpa had My100 dan My50 bagi membolehkan kemudahan tersebut benar-benar dimanfaatkan oleh segenap lapisan rakyat ternyata mendapat sambutan.

Menurut Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong, pihaknya merasakan masih ada ruang yang perlu diperbaiki bagi menggalakkan rakyat menggunakan pengangkutan awam.

“Sebelum ini kerajaan telah memperkenalkan My50 dan My100 di mana ia dapat sambutan yang okay dan bagus.

“Tetapi apabila kita mengambil alih tampuk kuasa, ada ruang untuk kita tambah baik iaitu menggalakkan lebih ramai orang menggunakan pengangkutan awam.

“Itu sebab kita telah memperkenalkan My30, mereka hanya bayar RM30 sebulan boleh naik apa saja mod pengangkutan sama ada bas atau pun transit aliran ringan.

“Ini adalah satu tawaran kepada rakyat khususnya B40 dan mereka berasa sangat baik,” katanya dalam sidang khas sempena Setahun Malaysia Prihatin di Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT), baru-baru ini.

Menurut Ka Siong, langkah kerajaan memperkenalkan pas My30 tidak hanya memberi manfaat kepada golongan B40 semata-mata, bahkan golongan pelajar dan orang kurang upaya tidak tercicir daripada bantuan itu.

“Golongan B40 hanya perlu membayar RM30 sebulan manakala pelajar dan OKU pula hanya RM5 sebulan dengan penggunaan tanpa had, bas mahupun transit aliran ringan.

“Kerajaan PN benar-benar mahu bantu rakyat dengan mengenakan bayaran begitu rendah antara RM30 dan RM5 sebulan.

“Malah insentif itu juga kini diperluaskan kepada rakyat di sebelah utara,” jelasnya.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong dalam sidang media khas sempena Setahun Malaysia Prihatin di Kementerian Pengangkutan, Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 08 MAC 2021.

Ka Siong mengakui bukan mudah insentif itu dilaksanakan, apatah lagi ia melibatkan perbelanjaan tinggi kepada rakyat yang memerlukan pengangkutan awam.

“Tanggungan kita besar, kita kena sediakan subsidi agak besar terhadap skim yang kita perkenalkan ini.

“Kerajaan bantu rakyat dengan cara kita menggunakan RM30 dan RM5 sebulan kepada mereka yang memerlukan pengangkutan awam,” katanya.

Lebih manis lagi apabila skim My30 yang diperkenalkan pada 15 Jun tahun lalu telah mendapat sambutan luar biasa daripada rakyat dengan jualan mencecah hampir 800,000 pas.

“Sejak My30 diperkenalkan, jualannya telah mencecah 783,754 pas berjumlah RM23,512,620 setakat 31 Disember tahun lalu.

“Manakala pada awal tahun ini, pas My30 telah terjual sebanyak 169,661 pas bernilai RM5.089 juta.

“Keseluruhan jualan pas My30 pada tahun lalu dan setakat Februari ini mencecah hampir sejuta pas,” katanya lagi. – MalaysiaGazette