Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berucap pada Majlis Perhimpunan Warga MITI dan Agensi di Menara MITI, Kuala Lumpur. Foto HAFIZ SOHAIMI, 10 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Cadangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu yang mahu bertanding di semua kerusi yang ditandingi UMNO di negeri itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 bukannya keputusan yang dibuat di peringkat nasional

Bersatu Terengganu mengambil tindakan itu berikutan UMNO tidak akan bekerjasama dengan parti itu pada PRU akan datang.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, keputusan Bersatu yang dilakukan di peringkat nasional akan memberikan kepimpinan terbaik.

“Itu pandangan negeri, mungkin pandangan bahagian dan kawasan, kita kena hormatlah.

“Tetapi bila pandangan ini diangkat ke peringkat pusat, presiden parti, pimpinan Majlis Tertinggi sudah tertentu akan memberikan kepimpinan terbaik mungkin.

“Sebab itu pendirian yang kita ambil adalah kita akan terus memperkukuhkan kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN) dan kita sedia kerjasama dengan mana-mana parti yang menerima dasar perjuangan dan idealisme prinsip-prinsip yang terkandung dalam PN,” katanya.

Azmin juga menegaskan, beliau menghormati setiap perbezaan pandangan yang disuarakan parti itu di peringkat bawah.

Pengerusi Bersatu Terengganu, Razali Idris semalam berkata parti itu akan bertanding di semua kerusi yang ditandingi UMNO di negeri itu berikutan tiada kerjasam dijalankan dengan UMNO pada PRU15.

Ketetapan ini dibuat selepas UMNO Terengganu dilaporkan mahu bertanding di semua 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan lapan kawasan Parlimen pada PRU akan datang. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.