Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Petugas Balai Polis Cheras menemui seorang tahanan lelaki mati pada jeriji besi pintu lokap dengan menggunakan baju tahanan yang dibekalkan kepadanya.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, kejadian pada jam 12.30 tengahari Isnin lalu itu disedari petugas semasa proses membawa keluar tahanan lain di sel lokap bersebelahan untuk tujuan siasatan.

“Semasa kejadian, mangsa berada di sel lokap seorang diri disebabkan tahanan lain yang ditempatkan dalam sel yang sama telah dibawa keluar ke Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur untuk proses pertuduhan.

“Si mati telah ditangkap polis pada 4 Mac lalu atas kesalahan memiliki dadah dan kes disiasat di bawah Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan hasil ujian saringan air kencing selepas ditahan juga mendapati positif dadah jenis methamphetamine,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohamed Mokhsein, tahanan reman dibenarkan ke atas mangsa yang merupakan seorang pemadu teksi bermula pada 4 hingga hari ini.

Tambahnya, mangsa yang berusia 54 tahun mempunyai empat rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 386 Kanun Keseksaan, Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Senjatapi 1971.

Mohamed Mokhsein memberitahu, Hakim Mahkamah Koroner dari Mahkamah Jalan Duta telah menjalankan siasatan di lokap tersebut pada jam 3 petang hari sama sejurus selepas kejadian itu dilaporkan.

“Manakala, Pakar Patologi dari Hospital Canselor Tuanku Mukhriz (HCTM) pula hadir menjalankan siasatan di lokap tersebut pada hari kejadian sekitar jam 3.05 petang disusuli proses bedah siasat selesai dijalankan semalam di HCTM,” ujarnya.

Tambah beliau, siasatan lanjut diteruskan di bawah Kes Kematian Mengejut (SDR) dan siasatan dalaman oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard turut dilakukan ke atas petugas lokap terbabit. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Penagih gian dadah bukan sebarangan tergamak bunuh emak sendiri untuk wang beli dadah.

Comments are closed.