Anggota polis trafik memeriksa lesen penunggang motosikal semasa melakukan Operasi Bersepadu di Jalan Ampang, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 11 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Selepas 10 hari bermulanya Operasi Khas Bersepadu Kesalahan Bunyi Bising – kesalahan jalan raya khususnya melibatkan pengubahsuaian ekzos motosikal semakin berkurangan di kawasan Ampang Jaya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Supritendan Mohd Azam Ismail, pengguna jalan raya di sekitar daerah itu dilihat semakin mematuhi undang-undang di bawah Akta Pengangkutan Jalan.

“Kalau kita tengok 10 hari ini kesalahan makin kurang orang ramai makin sedar dengan adanya operasi ini jadi saya ingatkan agar lebih berhati-hati

“Jadi saya menyeru orang ramai agar sentiasa mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan di bawah Akta JPJ khususnya pemilik motosikal yang mengubah suai ekzos sehingga mengeluarkan bunyi bising,” katanya ketika hadir Operasi Khas Bersepadu Kesalahan Bunyi Bising di Jalan Ampang hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Supritendan Mohd Azam Ismail bercakap kepada media semasa melakukan Operasi Bersepadu di Jalan Ampang, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 11 MAC 2021.

Terdahulu Mohd Azam memaklumkan sebanyak 134 kesalahan mengubahsuai ekzos motosikal dikesan pihaknya sejak operasi bersepadu di daerah itu bermula 1 Mac sehingga semalam.

Katanya, dalam tempoh 10 hari itu, sebanyak 1,406 saman trafik dikeluarkan melibatkan 1,586 kesalahan.

Sebanyak 75 buah motosikal telah disita dan tiga waran tangkap dikeluarkan.

Mohd Azam turut memaklumkan sebanyak 100 kesalahan yang tertakluk di bawah Akta Pengangkutan Jalan dalam tempoh berkenaan.

Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) juga telah menahan tujuh orang yang didapati positif dadah menerusi operasi yang sama, katanya.

Manakala bagi operasi hari ini, sebanyak 92 saman trafik telah dikeluarkan untuk 101 kesalahan melibatkan tujuh kesalahan ubahsuai ekzos dan lain-lain kesalahan.

Turut disita sebanyak tujuh buah motosikal untuk ujian Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Untuk rekod, Operasi Khas Bersepadu Kesalahan Bunyi Bising yang diadakan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya hari ini melibatkan kerjasama daripada pelbagai agensi termasuk JPJ, JAS dan AADK.

Ia melibatkan seramai tujuh pegawai dan 46 anggota yang dalam operasi hari ini.-MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Penguatkuasaan sepatutnya dibuat terhadap pekedai² dan penjual seperti dinegara jiran. Sumber utama tidak disekat, bila dah bertebar merata baru nk sekat.. Tk guna jgk mcmtu..

Comments are closed.