Foto HAZROL ZAINAL, 08 DISEMBER 2020.

KUALA UMPUR – Denda sehingga RM100,00 menunggu sesiapa yang didapati bersalah menghasil, menyiar atau menyebarkan berita palsu berkuatkuasa esok.

Menurut Warta Kerajaan Persekutuan, pesalah juga boleh dipenjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Hukuman lebih berat akan dikenakan kepada mereka yang membayar untuk penghasilan berita palsu iaitu denda sehingga RM500,000 atau penjara enam tahun atau kedua-duanya.

Antara berita yang dipertimbangkan di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (No 2) 2021 yang diwartakan hari ini sama ada “keseluruhannya atau sebahagiannya adalah palsu” termasuk mengenai Covid-19 atau proklamasi darurat.

Menurut laporan portal berita FMT, Mahkamah juga boleh memerintahkan individu disabitkan bersalah untuk memohon maaf kepada pihak yang terjejas dengan tindakan mereka.

Jika gagal berbuat demikian, mereka boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya.

Undang-undang itu meliputi semua bentuk media, seperti rencana, visual atau rakaman audio “yang boleh menggambarkan perkataan atau idea”.

Ia terpakai kepada semua individu tanpa mengira status kerakyatan, dan walaupun kesalahan itu dibuat di luar negara.

Individu yang memiliki atau mempunyai kawalan ke atas bahan dianggap mengandungi berita palsu perlu menghapuskan penerbitan itu dalam 24 jam daripada masa arahan diberikan polis atau pegawai diberi kuasa.

Gagal berbuat demikian, mereka boleh didenda tidak lebih RM100,000 dengan RM3,000 ditambah bagi setiap hari arahan itu tidak dipatuhi.

Polis atau pegawai diberi kuasa boleh diarahkan Mahkamah Sesyen untuk mengambil langkah perlu bagi menghapuskan penerbitan yang mengandungi berita palsu atas permohonan pendakwa raya.

Mana-mana individu yang terjejas dengan penerbitan atau penyebaran berita palsu boleh membuat permohonan ex parte kepada Mahkamah Sesyen untuk arahan menghapuskannya.

Ia juga satu kesalahan untuk menyediakan bantuan kewangan secara langsung atau tidak langsung atas tujuan menghasil atau menyebarkan berita palsu, dan mereka yang didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM500,000, dipenjara sehingga enam tahun atau kedua-duanya.

2 Komen

  1. Yang menyebarkan berita maulid, lafaz usolli, tahlilan arwah, dan seumpamanya sebagai ajaran syariat mahupun sunnah adalah berita palsu juga, kan?

Comments are closed.