Saifuddin Abdullah

PEKAN – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pahang tidak mahu masuk campur mengenai keputusan UMNO peringkat pusat tetapi memberi fokus kepada agenda Perikatan Nasional (PN) di negeri itu.

Pengerusi Bersatu Pahang, Datuk Saifudin Abdullah berkata, pihaknya kini dalam proses perbincangan untuk penubuhan PN Pahang dan mesyuarat akan diadakan pada 26 Mac depan.

“Kita tidak mahu komen keputusan yang dibuat pihak UMNO, kita faham Muafakat Nasional, hak masing-masing. Bersatu tidak buat keputusan untuk UMNO, UMNO yang buat keputusan daripada segi hubungan dengan Bersatu,” ujarnya.

Beliau yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia itu berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Program Malaysia Prihatin di Ancasa Royale Pekan di sini semalam.

Menurut Saifuddin, mesyuarat pada 26 Mac ini merupakan hasil perjumpaan tidak rasmi antara Bersatu, Pas dan Gerakan sebelum ini.

Penetapan tarikh itu dicapai apabila melihat ketiga-tiga parti telah bersedia daripada segi gerak kerja sebagai gabungan baharu untuk pilihan raya akan datang.

Menurutnya, hasil tinjauannya, sambutan terhadap PN menerima respon positif di Pahang.

“Peringkat kawasan Parlimen yang saya pergi mendapat sambutan begitu baik, susasana pertermuan penuh kemesraan dan persahabatan.

“Masing-masing bersedia bekerja dalam gabungan yang baru untuk pilihan raya akan datang,” ujarnya lagi.

Bagi Saifuddin apa yang menjadi keutamaan bagi Bersatu untuk mempertingkatkan kerjasama antara semua parti gabungan di dalam PN.

“Yang menjadi utama saya percaya Bersatu  di seluruh negara ialah nak mengukuhkan hubungan bersama dengan parti-parti lain yang sudah berada PN,” katanya.- MalaysiaGazette