MCA
PRN Johor membawa cabaran bagi MCA untuk memastikan kemenangan kerusi yang ditandingi kelak.

KUALA LUMPUR – MCA masih kabur tentang kawasan yang akan dan boleh ditandinginya dalam pilihan raya umum berikutan hubungan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) yang tidak menentu.

Oriental Daily melaporkan, walau bagaimanapun, BN telah menggesa parti-parti komponen untuk menyiapkan senarai calon dan pencaturan MCA sendiri juga hampir siap.

Pencaturan MCA untuk kebanyakan kawasan akan diselaraskan oleh jawatankuasa pilihan raya yang dipengerusikan Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon.

Namun begitu, MCA juga mengenal pasti beberapa kerusi istimewa yang mana penilaian calon akan dilakukan sendiri oleh presiden parti, Datuk Seri Wee Ka Siong.

Malahan, Ka Siong telah menemui veteran parti termasuk dua bekas presiden iaitu Tan Sri Chua Soi Lek dan Datuk Seri Liow Tiong Lai untuk membincangkan persiapan pilihan raya.

Menariknya, anak Soi Lek yang juga bekas timbalan menteri iaitu Datuk Chua Tee Yong besar kemungkinan akan bertanding semula di kerusi Labis di Johor yang pernah menjadi kubu MCA sebelum ditawan DAP.

Walaupun Tee Yong kelihatan berprofil rendah dan jarang dilaporkan media, tetapi beliau masih aktif di Labis.

Di Bentong pula, Tiong Lai dilihat merupakan orang yang paling berpotensi untuk menawan semula kerusi di Pahang itu.

Walaupun Tiong Lai dan Soi Lek dianggap tidak sehaluan sebelum ini, tetapi pengaruh mereka tidak boleh dinafikan masing-masing di Bentong dan Labis.

Dalam pada itu, keinginan MCA untuk bertanding di Alor Gajah di Melaka, Raub di Pahang dan Tanjung Malim di Perak berdepan halangan daripada UMNO yang berhasrat menghantar wakil bertanding di bawah panji BN.

Daripadanya, Tanjung Malim adalah lebih mencuri tumpuan kerana MCA dilihat mahu meletak timbalan presidennya, Datuk Dr. Mah Hang Soon untuk bertanding di situ.

Selain faktor UMNO, keadaan MCA juga dikaburkan oleh penyertaan Gerakan dalam PN serta hubungan tidak menentu PN dengan BN. – MalaysiaGazette